TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Mahasiswa USM Raih Manfaat Percuma Sijil Kursus Pendek Bernilai RM5,000

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 28 Oktober 2026 – Seramai 178 mahasiswa Universiti Sains Malaysia menyertai Program Jelajah Ai Mahir (JAM) 2026 bagi memperkukuh kompetensi kecerdasan buatan (AI) dan mempersiapkan diri menghadapi keperluan kerjaya yang semakin dipengaruhi transformasi digital.

Program anjuran Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) itu berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA USM, hari ini.

Antara pengisian utama ialah sesi MyMahir Context Setting & AI Skills Credit Registration berkaitan pendaftaran kredit kemahiran AI, “AI di Hujung Jari” yang meneroka asas dan aplikasi AI dalam pembelajaran, serta AI for Career yang menekankan penggunaan AI untuk memperkukuh daya saing dan kebolehpasaran graduan.
Perkongsian oleh Puan Syaza Nazura Noor Azmi, Puan Fasiha Mohd Noh dan Puan Siti Noor Munirah Kamaruzaman, masing-masing Timbalan Naib Presiden, Pejabat Strategi Kumpulan TalentCorp, memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang kepentingan penguasaan AI dalam mendepani perubahan landskap kerjaya.

Turut hadir bersama ialah Encik Sollehin Ab Rahim dan Cik Nur ’Aqila Badrul Hisham, Pegawai Tadbir, Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM.2

Sebagai nilai tambah, peserta turut menerima Sijil Kursus Pendek (Short Course Certificate) bernilai RM5,000 secara percuma bagi menyokong usaha memperkukuh kompetensi AI dan meningkatkan nilai profesional mereka.

Penganjuran JAM 2026 mencerminkan komitmen USM melalui SKKG dan BHEPA dalam menyediakan peluang pembelajaran yang relevan dengan keperluan industri bagi melahirkan graduan yang adaptif, berdaya saing dan bersedia memanfaatkan teknologi dalam dunia pekerjaan.