Skip to main content
Kepimpinan

74 Pelajar KSMUSM Asah Kepimpinan Menerusi Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat 3(B)

Oleh : Kelana Siswa Malaysia USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
Kelana Siswa Malaysia USM bergambar bersama barisan pengurusan tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia
PULAU PINANG, 4 Ogos 2026 – Seramai 74 orang pelajar Program Kelanasiswa Malaysia Universiti Sains Malaysia (KSMUSM) telah menyertai Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat 3(B), Unit Pengakap Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Perdana, di sini, bermula 30 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Majlis penutup kursus berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Dato' Haji Zulkafli Kamaruddin. Turut hadir ialah Pengerusi Rancangan Kelana Siswa USM, Ts. Dr. Mohd Najwadi Yusoff.

Kursus intensif yang diketuai oleh Yang Dipertua KSMUSM, Saudara Ng Seh Hong ini merupakan komponen wajib yang perlu disempurnakan oleh penuntut di bawah program berkenaan.
Penganjurannya bermatlamat melengkapkan pemimpin pengakap dengan pengetahuan asas, kemahiran praktikal, dan sikap kepimpinan yang berkesan untuk merancang aktiviti serta menguruskan pasukan secara sistematik.

Apabila melangkah ke alam universiti, latihan berterusan menerusi pasukan beruniform menawarkan dimensi yang jauh lebih matang. Melalui kursus ini, para peserta didedahkan dengan modul kepimpinan strategik, pengurusan krisis, dan teknik ikhtiar hidup yang menguji ketahanan fizikal serta mental.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai sidang dan modul komprehensif telah diikuti oleh peserta, antaranya termasuklah aktiviti pengembaraan, latihan pertolongan cemas, dan kursus pemadam api yang diyakini memberi nilai tambah kepada dunia kepengakapan mereka.

Program anjuran bersama Pusat Rancangan Kokurikulum USM, KSMUSM, Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Butterworth, dan Pasukan Latihan Negeri Pulau Pinang ini turut mencerminkan komitmen KSMUSM dalam menyahut agenda H.E.B.A.T Universiti Sains Malaysia.

Ia sekali gus mendukung usaha melahirkan graduan yang seimbang di samping memperkukuh pembangunan sahsiah, kepimpinan, dan nilai kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Penganjuran ini diharapkan dapat memperkukuh jati diri kepengakapan dalam kalangan warga KSMUSM serta melahirkan barisan pemimpin yang berwibawa dan berketerampilan demi menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan.