Skip to main content
Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

87 Pegawai Kadet SISPA Tamatkan Latihan Berkemahiran Menerusi Kursus Pertolongan Cemas

Oleh : Jabatan Multimedia Kor SISPA USM,
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 1 Ogos 2026 :- Dalam situasi kecemasan, perbezaan antara nyawa dan maut kadangkala ditentukan oleh tindakan pantas dan betul dalam beberapa minit yang pertama. Hari ini, anda bukan sekadar hadir untuk menduduki sebuah kursus, tetapi anda sedang mempersiapkan diri untuk menjadi wira yang mampu menyelamatkan nyawa.

Bertempat di Bangunan G27 USM, seramai 87 pegawai kadet SISPA (PKS) Tahun 1, telah berjaya menamatkan Kursus First Responder Life Support (FRLS) KOR SISPA USM 2026 yang berlangsung dari 27 hingga 29 Julai.

Kursus tahunan berintensif tinggi yang dianjurkan oleh Pusat Rancangan Kokurikulum USM ini diadakan bertujuan untuk menguji tahap pengetahuan PKS dalam bidang penyelamat dan kecemasan, menilai rekod prestasi latihan, serta melahirkan anggota yang kompeten dan cekap mengaplikasikan ilmu ketika berdepan situasi kecemasan sebenar.
Perasmian program yang diketuai oleh Muhammad Muhaimin Bin Rozailan selaku Pengarah Projek ini telah disempurnakan oleh Kapten (PA) Sharizuan Bin Saharudin dari PULAPAU Baling.

Sepanjang tiga hari kursus dijalankan, para peserta telah melalui pelbagai modul latihan dan penilaian praktikal yang ketat bagi menguji penguasaan kemahiran pertolongan cemas, merangkumi Penilaian Kemahiran CPR : Teknik bantuan hayat asas jantung dan paru-paru, Pengurusan Tercekik (Choking) : Teknik tindakan kecemasan bagi mangsa saluran pernafasan terhalang, Pengurusan Kepatahan, Luka dan Teknik Balutan : Rawatan awal kecederaan fizikal dan trauma serta Pengenalan dan Pengendalian Peralatan Pertolongan Cemas : Penggunaan perkakasan perubatan asas yang betul.

Kapten (PA) Sharizuan Bin Saharudin memuji pencapaian keseluruhan para peserta yang disifatkan amat memuaskan, dengan ketepatan jawapan penilaian mencapai tahap 85% hingga 95% selaras dengan modul yang dipelajari.

“Ilmu yang diperoleh bukan sekadar untuk lulus ujian, sebaliknya perlu dimanfaatkan dalam kehidupan seharian untuk membantu keluarga dan komuniti,” ujarnya lagi.

Sementara itu Muhammad Muhaimin berharap pelaksanaan kursus ini mampu mendedahkan PKS kepada teknik dan penggunaan peralatan menyelamat yang betul.

“Saya menyeru agar semua peserta dapat menterjemahkan ilmu asas rawatan dan perubatan ini ke dalam bentuk tindakan praktikal apabila diperlukan nanti,” katanya.

Penganjuran ini diharap dapat terus melahirkan anggota KOR SISPA USM yang berintegriti, berkaliber, dan sentiasa bersedia berkhidmat demi kesejahteraan masyarakat.