TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT

G4G8

Komponen Generik MyCSD : Keusahawanan

MPDR USM Sasar Lahirkan Graduan Holistik Melalui Siri Program Berkemahiran

Oleh : Nurliyana Ardiny Nasiruddin (Pengarah Projek) & Arifah Julia Mohd Ruhaizat  (Setiausaha Projek)
Semakan : Daniel Anak Dennis (NYDP 3 MPD Restu)
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 20 Jun 2026 - Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam melahirkan graduan berdaya saing menerusi penganjuran siri program kemahiran 'Skills on Wheel'.

Inisiatif ini menggabungkan elemen pembelajaran praktikal, kreativiti, dan keusahawanan bagi mempersiapkan mahasiswa menghadapi cabaran dunia kerjaya yang dinamik.

Sepanjang Mei hingga Jun 2026, MPDR telah melaksanakan tiga program hasil kerjasama strategik dengan Kolej Komuniti Nibong Tebal, Lokarisma Studi, dan Penang Batik Factory.

Inisiatif yang dipimpin oleh Pengarah Projek, Nurliyana Ardiny Binti Nasiruddin ini mendapat bimbingan penuh daripada Penggawa Desasiswa Restu, Dr. Lim Chee Ann.

Tiga Fasa Pembangunan Kemahiran

Siri program tersebut dimulakan dengan Bengkel Kemahiran Pastri pada 24 Mei 2026 yang disertai 20 mahasiswa.

Dalam program tersebut, para peserta didedahkan dengan teknik penyediaan brownies dan cookies secara hands-on, di samping mempelajari amalan kerja profesional dan potensi perniagaan dalam industri makanan.

Kecemerlangan program diteruskan dengan Penerokaan Seni Tembikar pada 13 Jun 2026 yang menarik penyertaan seramai 25 peserta, termasuk seorang pelajar pertukaran antarabangsa.

Melalui teknik pinching, peserta bukan sahaja mengasah kreativiti dan ketelitian, malah meninjau potensi seni kraf sebagai produk komersial.

Melengkapkan siri program ini, Bengkel Seni Batik yang berlangsung di Penang Batik Factory pada 20 Jun 2026 menjadi kemuncak kepada inisiatif 'Skills on Wheel'.

Seramai 30 orang peserta bukan sahaja mendalami teknik penghasilan batik secara praktikal, malah turut menghayati peranan seni ini sebagai warisan budaya negara yang mampu menjana pendapatan dalam sektor ekonomi kreatif.

Sokong Aspirasi SDG

Penganjuran siri program yang diterajui oleh Exco Keusahawanan dan Penajaan MPDR ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal dan kreatif, malah menyemai nilai keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

Usaha ini merupakan langkah proaktif MPDR dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 8: Pekerjaan yang Layak dan Pertumbuhan Ekonomi.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh MPDR ini selaras dengan aspirasi USM dalam melahirkan graduan yang inovatif, holistik, serta mempunyai ciri keusahawanan sosial.