SUKJAP 4 Penjuru USM 2026 : Kampus Kesihatan Dinobat Juara, Perkukuh Semangat Kebersamaan
Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
Kontinjen staf Kampus Kesihatan selaku juara keseluruhan bergambar bersama piala yang dimenangi.
PULAU PINANG, 5 Julai 2026 – Kontinjen Kampus Kesihatan dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Sukan Antara Jabatan/Pusat Pengajian (SUKJAP) 4 Penjuru Universiti Sains Malaysia 2026 setelah mengungguli kejohanan dengan kutipan 5 pingat emas, 6 pingat perak, dan 1 pingat gangsa.
Kejayaan tersebut melayakkan kontinjen berkenaan membawa pulang Piala Pusingan SUKJAP 4 Penjuru USM 2026 pada majlis penutup dan makan malam yang berlangsung di sini, malam tadi.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya menyifatkan penganjuran kejohanan tersebut sebagai platform strategik untuk memperkukuh budaya kolaborasi dan hubungan silaturahim antara warga universiti.
"Sukan bukan sekadar medan pertandingan untuk mencari juara, sebaliknya merupakan medium terbaik bagi membentuk disiplin, integriti, kepimpinan, dan semangat kerja berpasukan," ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Sukan dan Rekreasi, Jabatan Pendaftar, Kelab Sukan Staf, serta seluruh jawatankuasa yang terlibat atas dedikasi memastikan kelancaran kejohanan yang melibatkan kira-kira 560 atlet, pegawai, dan urus setia.
Kejohanan kali ini menyaksikan penyertaan wakil daripada Kampus Induk, Kampus Kesihatan, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berentap dalam 14 acara sukan.
Dalam majlis yang sama, Zon 3 diumumkan sebagai Johan Keseluruhan SUKJAP Kampus Induk 2026 dengan kutipan 4 pingat emas, 3 pingat perak, dan 2 pingat gangsa.
Bagi pengiktirafan individu, Anugerah Most Valuable Player (MVP) SUKJAP 4 Penjuru USM 2026 diraih oleh Norsyazwani Nadirah Samsudin dari Kampus Kesihatan atas sumbangan cemerlang beliau kepada pasukan. Sementara itu, atlet dari Kampus Induk, Azlisufryzal Bunizar, pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Most Energetic Athlete.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anwar Hashim; Bendahari USM, Dr. Rafizal Abd Rahim; serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
Penganjuran SUKJAP 4 Penjuru USM 2026 membuktikan komitmen berterusan universiti dalam melahirkan komuniti kampus yang seimbang, sihat, dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan USM.