AURA MESUT ÖZIL MERIAHKAN STADIUM USM : 500 PEMINAT RAI DETIK BERSEJARAH BERSAMA BEKAS BINTANG BOLASEPAK
USM PULAU PINANG, 29 April 2026 – Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia petang tadi bergema dengan sorakan keterujaan apabila bintang bola sepak dunia, Mesut Özil, hadir bagi menjayakan program pembangunan bola sepak akar umbi yang penuh inspirasi.
Program eksklusif anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama USM dan diselaraskan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi itu bukan sekadar satu aktiviti sukan, malah menjadi medan transformasi bagi hampir 500 peminat bolasepak tanah air untuk menimba motivasi daripada bekas bintang Arsenal dan Real Madrid itu.
Acara dimulakan dengan sesi ramah mesra yang menyaksikan stadium dibanjiri peminat tegar yang ingin melihat lebih dekat bekas bintang bolasepak professional itu. Detik istimewa bersama peminat membuktikan impak luar biasa ikon bola sepak itu dalam menyemarakkan semangat kesukanan.
Memasuki sesi kedua, tumpuan beralih kepada aspek teknikal melalui klinik bola sepak yang melibatkan peserta cilik berusia 8 hingga 12 tahun. Di bawah pemerhatian Özil, para peserta didedahkan dengan permainan kecil (small-sided games) untuk menguji komunikasi dan penerapan semangat kesukanan dalam suasana santai penuh keterujaan
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, menzahirkan rasa bangga atas kejayaan penganjuran yang dianggap sebagai platform 'emas' untuk membentuk generasi muda bertaraf dunia.
“Inisiatif ini selari dengan aspirasi kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang. Kita mahu anak-anak ini mencontohi dedikasi Mesut Özil, terutama usaha beliau dalam merealisasikan impian membangunkan akademi bolasepaknya sendiri di Istanbul,” ujarnya lagi.
Beliau turut menambah bahawa penganjuran ini merupakan titik mula yang signifikan dalam menggilap bakat tempatan. Beliau berharap agar inspirasi daripada pertemuan ini mampu melahirkan pemain profesional yang bakal mengharumkan nama negara di masa hadapan.
Hadir sama semasa program berlangsung adalah Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir bersama barisan pengurusan tertinggi KPT-JPT, YB Kumaresan A/L Aramugam, ADUN Batu Uban, Encik Mohd Azizuddin Mohd Shariff, Pendaftar USM, Prof. Dr. Habibah A Wahab, TNC Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Dr. Hairul Anuar Hashim, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi dan tetamu kenamaan lain.
Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA