Skip to main content
Komponen Generik MyCSD : Sukan

TOT USM Ke-49 Buka Tirai, Julung Kali Perkenalkan Kategori PKU dan Larian Sebatu

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM, PULAU PINANG, 5 Jun 2026 – Temasya Olahraga Tahunan (TOT) Universiti Sains Malaysia Kali Ke-49 membuka tirainya dengan penuh gemilang malam tadi, menyaksikan pengenalan julung kali kategori khas bagi Pelajar Kelainan Upaya (PKU) dan acara Larian Sebatu bawah 12 tahun.

Penganjuran kategori khas Sukan Paralimpik (SUKPA) melibatkan seramai 6 peserta itu dilaksanakan dengan kerjasama Gerakan Mahasiswa Istimewa (GMI) BHEPA, manakala acara Larian Sebatu bawah 12 tahun pula menerima tajaan sepenuhnya daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM.

Majlis perasmian temasya sukan berprestij bertemakan "World Cultural" dan motto "Together on Track" itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, di Stadium Olahraga USM di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola TOT Ke-49, Saudari Nur Anis Alimi berkata, pengenalan kategori inklusif itu bukan sekadar membuka ruang penyertaan yang lebih luas, malah mencerminkan komitmen jitu universiti dalam memperkukuhkan nilai keterangkuman.

"Ia sekali gus memastikan setiap warga kampus diberikan peluang saksama untuk menyerlahkan potensi masing-masing," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Jaafar menegaskan bahawa semangat seorang atlet tidak diukur melalui batasan fizikal, sebaliknya menerusi keberanian, kesungguhan, dan kecekalan untuk terus melangkah ke hadapan.
“Saya percaya penyertaan pelajar PKU ini akan menjadi inspirasi yang amat besar kepada seluruh warga universiti,” ujar beliau.

Suasana malam pembukaan di stadium meriah seawal jam 8:00 malam dengan kehadiran pasukan sorak dan penyokong yang menyaksikan perbarisan serta gimik kreatif daripada setiap kontinjen, sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api yang memukau.

Acara diteruskan dengan upacara bacaan ikrar temasya yang diketuai oleh Saudara Varunesh Slevaraj.

Temasya kali ini menghimpunkan lebih 500 atlet daripada 13 kontinjen warga USM yang terdiri daripada sembilan kontinjen desasiswa, empat kontinjen staf, dan satu kontinjen alumni. Kejohanan ini melibatkan penyertaan menyeluruh dari Kampus Induk, Kampus Kesihatan, Kampus Kejuruteraan, dan Pusat Perubatan USM Bertam.

Dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi BHEPA, TOT merupakan agenda sukan tahunan utama universiti yang berfungsi sebagai pentas utama untuk para pelajar dan ahli sukan universiti berentap memburu kejuaraan, sebelum dipilih mewakili USM ke peringkat kebangsaan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah pengarah-pengarah kampus, Timbalan-timbalan Naib Canselor, pegawai-pegawai BHEPA, barisan Majlis Penggawa Desasiswa, barisan Majlis Penghuni Desasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar, serta pegawai-pegawai utama universiti.