TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Khidmat Masyarakat

Persatuan Sains Kajihayat USM Semai Minat Sains di Empat Buah Sekolah

Oleh : Persatuan Sains Kajihayat (BioSociety), Universiti Sains Malaysia
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 20 November 2026 – Seramai 80 pelajar daripada empat sekolah menengah di Daerah Barat Daya telah menyertai Science Outreach Programme 6.0 anjuran Persatuan Sains Kajihayat (BioSociety), Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Malaysian Scientific Association (MSA) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) Wen Khai, Batu Maung, baru-baru ini.

Program yang menghimpunkan pelajar dari SMK Batu Maung, SMK Sungai Ara, SMK Raja Tun Uda serta SMK Bayan Lepas itu turut melibatkan murid-murid sekolah berkenaan bagi menyemarakkan minat awal terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman.
Wakil Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya, Pulau Pinang, Dr. Suzlipah Sanusi menyifatkan inisiatif ini sebagai pemangkin berimpak tinggi dalam memperkasakan pembudayaan sains di peringkat akar umbi.

“Pendedahan awal secara interaktif bersama mahasiswa universiti seperti ini mampu membuka minda murid terhadap potensi sebenar bidang sains dan teknologi dalam kehidupan seharian,” katanya.

Turut menyerikan majlis ialah Wakil Malaysian Scientific Association (MSA) USM, Dr. Azma Hanim binti Ismail; Penasihat Persatuan Sains Kajihayat, Dr. Rosazlina binti Rusly; serta Pengarah Projek Science Outreach Programme 6.0, Nur Hazirah binti Mohd Ismail.

Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang menguji minda menerusi aktiviti interaktif seperti Biology Charade, Ship Buoyancy, kuiz sains dan Decode the Word, meneroka pameran merangkumi bidang Biologi, Fizik serta Kimia, di samping meninjau reruai khas BioSociety yang mengetengahkan keusahawanan mahasiswa kepada komuniti.

Kejayaan program yang digerakkan oleh 56 sekretariat BioSociety ini bukan sahaja mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) dan mengasah kemahiran insaniah mahasiswa, malah diharapkan terus menginspirasikan generasi muda meneroka bidang sains sekali gus memperkukuh jalinan universiti dan komuniti.