TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

HAAK USM Inspirasi 432 Pelajar Tingkatan Enam Di Kelantan

Oleh : Majlis Tertinggi Himpunan Anak-Anak Kelantan (HAAKUSM) SA 2026/2027
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 20 September 2026 — Delegasi Siswa (DESIS) ke lima buah sekolah terpilih sekitar negeri Kelantan anjuran Himpunan Anak-Anak Kelantan (HAAK) Universiti Sains Malaysia diadakan bertujuan melonjakkan semangat, membina keyakinan, serta membimbing hala tuju akademik pelajar di negeri ini.

Inisiatif tersebut dirangka khas bagi mempersiapkan para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerusi pendedahan teknik pembelajaran yang berkesan.

Berlangsung pada 7, 10, 12, 14, dan 17 September 2026 menyaksikan penglibatan seramai 432 orang pelajar Tingkatan Enam iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Laut, SMK Kubang Bemban, SMK Kangkong, SMK Pasir Mas, dan SMK Kota.
Mengangkat atribut HEBAT USM, seramai 57 orang fasilitator dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi USM mengambil peluang ini bagi menajamkan aspek pemikiran, demi melatih daya pemikiran yang matang, kritis, dan berdaya saing dalam kalangan peserta serta warga persatuan sendiri.

Aspek kepimpinan dan semangat kerja berpasukan turut diterapkan sepanjang sesi latihan untuk membentuk peribadi pelajar yang seimbang, sejajar dengan penerapan atribut holistik.

Pengarah Projek DESIS, saudara Adam Fikri Che Hassan berkata, program ini menjadi medan terbaik untuk membuka mata para pelajar bahawa kejayaan STPM merupakan tangga utama menuju ke menara gading.

“Program ini juga berfungsi sebagai dorongan emosi dan moral buat peserta menerusi perkongsian santai oleh mahasiswa.

"Pihak kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sambutan mesra serta sokongan padu daripada pihak sekolah. Diharapkan kerjasama yang erat ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan demi pembangunan modal insan anak tempatan," ujar beliau.

Program tersebut turut menyerlahkan komitmen kepimpinan institusi melalui kehadiran semua pengetua sekolah yang terlibat serta Yang Dipertua HAAKUSM, Muhammad Muizzuddin Mahadhir.