TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kesukarelawanan

Pelajar Pusat Pengajian Sains Farmasi Perkukuh Khidmat Komuniti dan Aplikasi Ilmu Farmasi

Oleh : Nur Aina Syamimi Binti Ahmad Yamani
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 12 Ogos 2026 – Seramai 70 mahasiswa Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia yang diketuai oleh Nur Aina Syamimi Binti Ahmad Yamani komited memperkukuh khidmat bakti kepada masyarakat menerusi penganjuran Program Baktisiswa 2025/2026 yang berlangsung di Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang, Selangor.

Program selama lima hari empat malam bermula 6 hingga 10 Ogos 2026 ini merupakan inisiatif tahunan anjuran Persatuan Sains Farmasi (PSF) USM yang telah dilaksanakan sejak lebih 25 tahun lalu.
Aina berkata, program ini diharapkan dapat terus menyemai nilai kesukarelawanan, memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti, serta memberikan impak positif yang berpanjangan kepada masyarakat setempat.

Wakil ketua kampung, Tuan Hj. Mohd Fadhil Bin Mat Radzi turut menzahirkan penghargaan terima kasih atas komitmen, tenaga, dan keprihatinan yang ditunjukkan dalam melaksanakan inisiatif kemasyarakatan ini.

“Usaha murni ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti setempat, malah membuktikan bahawa mahasiswa hari ini adalah barisan hadapan yang berjiwa besar, berkaliber, dan sentiasa proaktif memacu perubahan positif,” ujarnya lagi.

Tumpuan utama program ini adalah aplikasi ilmu farmasi melalui aktiviti Penilaian Ubat-ubatan di Rumah (Home Medication Review-HMR). Menerusi aktiviti ini, mahasiswa menilai kaedah penyimpanan dan pengambilan ubat serta tahap kefahaman pesakit bagi memastikan kepatuhan rawatan dan penggunaan ubat yang selamat dalam kalangan komuniti.

Selain itu, pelbagai aktiviti komuniti turut diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh, antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan, program Pharm4Kids, serta pameran kesihatan bagi memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk setempat.

Dalam usaha memperkasakan pendidikan, sesi 'Road to University, Let’s Go!' turut diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Harun. Sesi tersebut bertujuan mempromosikan USM serta menyuntik motivasi kepada pelajar sekolah untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Dengan adanya penganjuran sebegini, agenda Students for Society merupakan satu platform dan gerakan strategic berterusan yang menterjemahkan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan sosial yang prihatin, proaktif, dan berjiwa komuniti merangkumi pembangunan kesejahteraan komuniti, nilai kesukarelawanan, jalinan universiti dan masyarakat dan pembentukan sahsiah holistik pelajar.