Komponen Generik MyCSD | Kesukarelawanan
Together for Borneo: P.E.A.C.E Club USM, YOSH UMS Ganding Sinergi, Cetus Impak Perkasa Komuniti Sabah
Oleh : People Empowered Act for Community and Empathy (P.E.A.C.E) Club, Universiti Sains Malaysia
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 8 Ogos 2026 – People Empowered Act for Community and Empathy (P.E.A.C.E) Club, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Kelab YOSH UMS telah menganjurkan program Together for Borneo: Borneo Community Outreach selama empat hari bermula 3 Ogos 2026 baru-baru ini sebagai wadah memperkasa komuniti menerusi pendidikan, kebajikan dan khidmat masyarakat, di samping menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
Dipimpin oleh Luqman Hakim Samsul Kamal selaku Pengarah Program, program yang menghimpunkan 23 mahasiswa terdiri daripada 21 mahasiswa USM dan dua mahasiswa Universiti Malaysia Sabah itu berlangsung di Kampung Kobuni, Kampung Suang Parai dan UMS dengan pengisian berteraskan pendidikan, kebajikan dan khidmat komuniti yang membuka ruang kepada mahasiswa untuk turun padang, menyantuni masyarakat serta memperkasa komuniti setempat.
Menerusi inisiatif 3M (Membaca, Mengaji dan Menulis) bersama pelajar Pusat Mengaji An-Nur, Kampung ABAB serta aktiviti kemasyarakatan di Kampung Suang Parai dan Kampung Kobuni, para sukarelawan menggabungkan pembelajaran interaktif, permainan, interaksi bersama kanak-kanak, pengagihan set alat tulis dan Kotak Rezeki, gotong-royong serta aktiviti rekreasi bersama penduduk.
Melangkaui aktiviti turun padang, program berkenaan turut mengetengahkan Borneo Youth Connect: Academic and Volunteerism Excel, iaitu sesi perkongsian ilmu yang berlangsung di UMS bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kecemerlangan akademik, kepimpinan dan pembangunan diri menerusi pengalaman kesukarelawanan.
Sesi tersebut menampilkan Dr. Martina Irwan Khoo dari Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), USM serta Dr. Salwa Naidin, calon Doktor Falsafah (PhD) Sains Alam Sekitar, UMS, yang berkongsi pengalaman dan pandangan tentang kecemerlangan akademik, kepimpinan dan kesukarelawanan, sekali gus menyuntik inspirasi kepada mahasiswa untuk menjadi generasi berilmu, berdaya kepimpinan dan cakna terhadap masyarakat.
Menurut Cik Aida Athirah, Setiausaha Borneo Community Outreach, program ini bukan sekadar memberi manfaat kepada komuniti, malah menjadi ruang pembelajaran secara langsung kepada mahasiswa untuk memahami realiti kehidupan masyarakat setempat serta membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan melalui pengalaman sebenar di lapangan.
Penglibatan mahasiswa dalam pendidikan, kebajikan dan khidmat komuniti menjadikan kesukarelawanan sebagai medan pembentukan jati diri dan kepimpinan, selaras dengan aspirasi Students for Society (S4S) melalui teras Pendidikan Berkualiti serta SDG 17: Kerjasama demi Matlamat, sekali gus memperkasa mahasiswa sebagai generasi berilmu, cakna dan berjiwa sukarelawan yang mampu menghubungkan ilmu dengan tindakan demi mencetuskan perubahan positif dalam masyarakat.