TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kesukarelawanan

Sekretariat P.E.A.C.E USM Semarak Minat STEM Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Oleh : Seketariat P.E.A.C.E
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 7 November 2026 :- Sekretariat P.E.A.C.E, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama MyFundAction memperkukuh pendedahan STEM dalam kalangan kanak-kanak menerusi penganjuran Program Saintis Cilik yang berlangsung di empat buah masjid, iaitu Masjid Habib, Masjid Umar Ibn Al-Khattab, Masjid Al-Bukhary dan Masjid Al-Rasyidin.

Program yang berlangsung pada 1 November 2026 lalu itu menghimpunkan seramai 306 kanak-kanak berusia antara empat hingga 17 tahun serta dibantu oleh 54 mahasiswa sukarelawan.

Pelbagai pengisian menarik disediakan, termasuk perkongsian keibubapaan (Parenting Talk), Eksplorasi: Inovasi Guna Semula (Explorace: Upcycle Innovation) dan demonstrasi tiga eksperimen sains, iaitu Ubat Gigi Gajah (Elephant Toothpaste), Eksperimen Kuman (Germs Experiment) serta Pasir Jerlus Tepung Jagung (Cornstarch Quicksand).
Menerusi pendekatan pembelajaran secara praktikal dan interaktif, peserta berpeluang meneroka fenomena sains, menguji idea serta mengembangkan kreativiti dan pemikiran kritis, selain memahami aplikasi ilmu sains dalam kehidupan seharian.

Menurut Pengarah Projek, Amierah Khadijah, penganjuran program ini bertujuan memupuk minat dan meningkatkan kesedaran kanak-kanak terhadap bidang STEM melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.

Ustaz Naem Zulkafli, Imam Pertama Masjid Habib turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif USM dan Sekretariat P.E.A.C.E dalam membawa pendekatan pembelajaran berasaskan sains ke masjid.

Turut hadir bersama ialah Dr. Siti Nor Syairah Anis, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat selaku pegawai pengiring.

Program ini menyokong SDG 4 : Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan pengalaman pembelajaran STEM yang interaktif dan menyeronokkan kepada kanak-kanak, selain mendukung SDG 17: Kerjasama demi Matlamat menerusi kolaborasi antara USM, MyFundAction dan pihak masjid dalam memperluas akses pendidikan sains kepada komuniti.