TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

KAKUSMA Perkasa Aspirasi Pendidikan Tinggi Pelajar MRSM Pendang Menerusi USM NextGen

Oleh : Kumpulan Anak-Anak Kedah Universiti Sains Malaysia
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 2 November 2026 :- Kumpulan Anak-Anak Kedah Universiti Sains Malaysia (KAKUSMA) terus memperkasa aspirasi pendidikan tinggi dalam kalangan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang, Kedah menerusi penganjuran program USM NextGen: New Pathways, New Futures yang membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali dengan lebih dekat laluan pengajian, peluang pendidikan dan prospek kerjaya di Universiti Sains Malaysia.

Program yang berlangsung pada 29 dan 30 Oktober 2026 di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA itu memberikan pendedahan awal kepada 108 orang pelajar tingkatan 3 tentang kepelbagaian pilihan pendidikan tinggi, bidang pengajian serta hala tuju kerjaya yang boleh diterokai berdasarkan minat, kecenderungan dan potensi masing-masing.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Pengetua MRSM Pendang, Tuan Haji Syauqi Mohd Noor turut hadir sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperluas akses maklumat pendidikan tinggi serta memperkenalkan persekitaran universiti kepada golongan pelajar sekolah menengah.

Menerusi pendedahan secara langsung kepada ekosistem USM, para pelajar berpeluang memperluas perspektif mengenai kehidupan kampus, selain memperoleh gambaran lebih jelas tentang pengalaman sebagai mahasiswa, kepelbagaian bidang pengajian dan persediaan yang diperlukan untuk melangkah ke alam pendidikan tinggi.

 

Berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti, program ini diharapkan dapat menyuntik inspirasi kepada pelajar MRSM Pendang untuk terus mengejar kecemerlangan dan meneroka peluang pendidikan tinggi demi membina masa depan yang lebih gemilang, selaras dengan aspirasi New Pathways, New Futures.