Skip to main content
Kerjaya

MySISWA Job on Campus USM Buka Peluang Mahasiswa Jana Pendapatan dan Perkasa Pengalaman Kerja

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 7 Ogos 2026 – Bagi mahasiswa, cuti semester bukan sekadar ruang untuk berehat daripada rutin akademik, malah menjadi kesempatan untuk menimba pengalaman, memperkasa kemahiran dan menjana pendapatan tambahan, sebagaimana dimanfaatkan oleh dua pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Program MySISWA Job on Campus (MySISWA@JoC) Kebangsaan 2026.

Nur Hidayah Mohamed Rashidee, pelajar Tahun 1 Pusat Pengajian Pengurusan yang juga merupakan pelajar Siswa Sulung serta Muhammad Alif Akhtar Marpizan, pelajar Tahun Akhir Pusat Pengajian Fizik, merupakan antara mahasiswa USM yang tampil merebut peluang pekerjaan sambilan tersebut bagi tempoh dua bulan, dari Julai hingga September 2026.

Sepanjang menyertai MySISWA@JoC, Nur Hidayah dan Alif melaksanakan tugasan berkaitan pemprosesan data yang bukan sahaja menuntut ketelitian dan disiplin, malah mengasah keupayaan mereka mengurus tugasan secara sistematik mengikut tempoh yang ditetapkan.

Menurut Nur Hidayah, beliau memilih untuk bekerja di USM walaupun berpeluang memperoleh bayaran yang lebih tinggi di luar kerana kebanyakan majikan tidak menawarkan pekerjaan jangka pendek selama dua bulan seperti yang disediakan menerusi MySISWA@JoC.

“Peluang tersebut amat bertepatan dengan tempoh cuti semester kerana memboleh saya menjana pendapatan, menimba pengalaman kerja serta kembali menyambung pengajian tanpa perlu terikat dengan komitmen pekerjaan yang lebih panjang.” ujarnya.

Inisiatif strategik KPT itu membuka peluang pekerjaan sambilan secara berstruktur kepada pelajar Universiti Awam (UA) bagi membantu mereka menjana pendapatan tanpa mengabaikan akademik, dengan kadar bayaran RM6.00 sejam, tempoh bekerja sehingga 20 jam seminggu pada semester biasa dan 40 jam seminggu ketika cuti semester, selain mengutamakan mahasiswa daripada kumpulan B40, M40, kumpulan rentan serta pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

Di USM, pelaksanaan Program MySISWA Job on Campus (MySISWA@JoC) Kebangsaan 2026 diperkukuh menerusi peruntukan berjumlah RM200,000 yang membolehkan pelbagai slot pekerjaan diwujudkan di pelbagai pusat tanggungjawab dan jabatan seluruh kampus.

Program MySISWA Job on Campus (MySISWA@JoC) Kebangsaan 2026 peringkat USM yang telah dirasmikan oleh Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, FASc., Naib Canselor USM, pada 12 Jun 2026 lalu menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk bukan sahaja menjana pendapatan, malah membina pengalaman kerja sebenar, memperkukuh kemahiran insaniah serta meningkatkan keyakinan diri sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan selepas tamat pengajian.