Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan
Sesi Townhall Kebolehpasaran Graduan USM Perkukuh Laluan Bakat ke Dunia Pekerjaan
Oleh : Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 26 Ogos 2026 – Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan, Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan melalui Sesi Townhall Kebolehpasaran Graduan (GE) USM yang berlangsung di Dewan Persidangan Universiti, hari ini.
Sesi tersebut menghimpunkan 71 orang Dekan dan Timbalan Dekan Pusat Pengajian dari ketiga-tiga kampus USM sebagai platform strategik untuk membincangkan pencapaian kebolehpasaran graduan, isu dan cabaran semasa serta hala tuju inisiatif yang perlu diperkasa bagi memastikan graduan USM terus relevan, kompetitif dan bersedia mendepani keperluan pasaran pekerjaan.
Pembukaan sesi oleh Ketua Cawangan Bakat & Penempatan Pekerjaan, Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, PERKESO, Puan Mastura Mansor, alumni Pusat Pengajian Sains Kimia USM tahun 2009, mengetengahkan Program Career LaunchPad (CLP) – PERKESO sebagai inisiatif memperkasa kesiapsiagaan kerjaya mahasiswa dan graduan melalui pembangunan resume, simulasi temu duga, pendedahan industri serta padanan peluang pekerjaan menerusi MYFutureJobs.
Slot kedua diteruskan dengan perkongsian Pencapaian GE USM 2025 oleh Timbalan Pengarah PPP USM, Dr. Hazrul Abdul Hamid, yang mengupas prestasi kebolehpasaran graduan berdasarkan pencapaian semasa, di samping meneliti trend, cabaran dan ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian bagi memperkukuh strategi intervensi kerjaya serta memastikan momentum pencapaian kebolehpasaran graduan USM terus dipacu secara konsisten dan berimpak.
Townhall turut menampilkan pembentangan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030 oleh Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, Profesor Dr. Azizah Omar, yang menggariskan hala tuju berteraskan pendekatan skills-first melalui lima teras, 10 objektif strategik dan 20 inisiatif bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan selari dengan tuntutan dunia pekerjaan.
Berteraskan sasaran PSKG 2026–2030 untuk mencapai GE melebihi 90%, Graduan Bekerja Setara Kelayakan Pendidikan (GBSK) melebihi 70.1%, pendapatan graduan melebihi RM3,000 dan kadar graduan usahawan melebihi 12%, USM terus memperhebat agenda kebolehpasaran graduan menerusi pendekatan yang lebih strategik dan berimpak.
Dengan pencapaian Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) 94.2% dan GE 94.3% pada 2025, USM melangkah lebih jauh dalam membentuk graduan yang berkemahiran, tangkas, adaptif dan berdaya saing, sekali gus bersedia menjadi pemacu tenaga kerja masa hadapan.