3KPP'26 Pemangkin Kebolehpasaran Graduan, Perkukuh Kerjasama Strategik USM-Industri
Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 12 Jun 2026 :- Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju agenda kelestarian melalui penganjuran Karnival Keusahawanan & Kerjaya Pulau Pinang 2026 (3KPP26).
Program flagship yang berlangsung di Padang Kawad, Kampus Induk USM ini menjadi pemangkin kerjasama strategik antara universiti, industri, dan agensi berkaitan dalam memperkasa pembangunan bakat serta kebolehpasaran graduan.
Langkah agresif ini selaras dengan saranan Matlamat Pembangunan Mampan 17 (SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat) yang menekankan kepentingan kolaborasi silang sektor.
Sinergi ini dilihat kritikal bagi menterjemahkan penyelidikan menara gading kepada penyelesaian komersial, di samping bertindak sebagai serampang dua mata dalam membuka ruang kerjaya yang lebih luas buat graduan.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyatakan bahawa ekspo berskala besar ini berperanan sebagai platform strategik untuk membantu mahasiswa merancang hala tuju kerjaya, memperluas jaringan profesional, serta meningkatkan kebolehpasaran mereka demi memenuhi tuntutan pasaran kerja masa hadapan, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035.
“Saya sering menekankan kepada para Dekan dan Ketua Jabatan agar memperkukuh penglibatan bersama pihak industri," ujarnya.
Beliau menambah, kerjasama erat ini amat penting bagi memastikan pelajar USM memperoleh pendedahan yang relevan serta bersedia menghadapi keperluan dunia pekerjaan yang semakin mencabar dan dinamik.
Bagi menyokong aspirasi SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) yang memfokuskan kepada akses pekerjaan produktif dan adil untuk semua termasuk golongan muda dan Orang Kurang Upaya (OKU), Abdul Rahman turut merasmikan Peluncuran Program MySISWA Job on Campus (MySISWA@JoC) Kebangsaan 2026 peringkat USM.
Program ini menawarkan peluang pekerjaan sambilan bagi memperkukuh kemahiran insaniah, pengalaman kerja, serta kesiapsiagaan kerjaya dalam kalangan mahasiswa.
Sementara itu, Pengarah Projek 3KPP26, Saudara Mahatdir Shukur berkata, penganjuran kali ini tampil lebih istimewa menerusi penggabungan Koridor Niaga serta Ekspo Kerjaya dan Pendidikan.
“Integrasi ini menghimpunkan elemen keusahawanan, pendidikan, kreativiti, dan hiburan dalam satu platform bersepadu,” katanya lagi.
Dengan penyertaan sebanyak 63 syarikat terkemuka, program ini berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan bakat muda dengan industri, sekali gus memperluas akses kepada latihan industri dan pembangunan profesional.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing melalui pemerkasaan ekosistem kerjaya dan keusahawanan.
Turut hadir memberikan sokongan pada majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni) USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pulau Pinang, Puan Rafidah Abdul Rahim; Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang, Cik Ong Ching Shi; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, Profesor Dr. Azizah Omar; dan Ketua Pejabat PERNAS Koridor Utara, Puan Safiyah Peer Mohamed.