TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kebudayaan

Kumpulan Kesenian Adikarma USM Raih Naib Juara Rentak Belia Talent Show 2026

Oleh : Kumpulan Kesenian Adikarma
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 19 Oktober 2026 – Kumpulan Kesenian Adikarma Universiti Sains Malaysia berjaya meraih gelaran Naib Juara dalam kategori Tarian Terbuka pada pertandingan Rentak Belia Talent Show 2026 yang berlangsung di Gurney Plaza, Pulau Pinang baru-baru ini.

Membawakan persembahan bertajuk “JEJAK”, kumpulan tersebut diwakili oleh tiga orang peserta, iaitu Chia Jia Jun, Nur Farisha Izzatie Jasni dan Wan Zulaikha Afifa Wan Zulkifli, yang menampilkan tarian kreatif Melayu dengan mengetengahkan keunikan serta kreativiti seni tari tradisional dalam persembahan yang tersendiri.

Persiapan persembahan mereka dibimbing oleh Encik Ahmad Assahirin Hamlet dari Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, yang bertindak sebagai koreografer bagi memastikan persembahan kumpulan tersebut dapat diketengahkan dengan berkesan.
Acara kemuncak yang menyaksikan persaingan 15 peserta finalis itu diakhiri dengan majlis penutup yang cukup bermakna, disaksikan oleh EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, YB Daniel Gooi Zi Sen, bersama Pengurus Besar PYDC, Encik Edry Faizal Eddy Yusof.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan mahasiswa USM dalam mengembangkan bakat seni persembahan, di samping memperkukuh penglibatan mereka dalam bidang seni dan kebudayaan, disamping menjadi pemangkin kepada Kumpulan Kesenian Adikarma untuk terus melakar kejayaan.