Skip to main content

USM UNGGULI CARTA LITERASI KEWANGAN: TEMPAT KETIGA PROGRAM CELIK MADANI 2025

USM PULAU PINANG, 16 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus melakar prestasi cemerlang, kali ini dalam arena literasi kewangan apabila berjaya merangkul tempat ketiga dalam Program Celik MADANI 2025.

Kejayaan ini menyaksikan sebanyak 81% pelajar kategori Ijazah (Keseluruhan) di USM kini sah menjadi pelabur bijak melalui pembukaan akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Melalui inisiatif ini, setiap pelajar yang mendaftar telah menerima pelaburan permulaan sebanyak RM50 dalam bentuk unit amanah - Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM). Insentif ini bertujuan menyuntik semangat menabung dan memberi pendedahan awal tentang dunia pelaburan kepada generasi muda.

Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar BHEPA mewakili Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni BHEPA USM hadir menerima sijil penghargaan di Majlis Pencapaian & Hala Tuju Celik MADANI, Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur pada 13 April 2026 baru-baru ini.

Sijil penghargaan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, dalam satu majlis gilang-gemilang. Turut hadir bersama ialah Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB dan Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.

USM diiktiraf sebagai antara enam institusi terbaik daripada 27 universiti yang memberikan komitmen penuh sepanjang tahun 2025.

"Langkah USM ini bukan sekadar mengejar tempat di podium, tetapi membuktikan mahasiswa kita bersedia mendepani cabaran ekonomi masa depan dengan tabiat kewangan yang sihat, ujar Shukeri"

Sebagai makluman, program ini merupakan inisiatif nasional di bawah kerangka Malaysia MADANI yang diterajui oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Dilancarkan pada: 22 Ogos 2024 oleh Perdana Menteri Malaysia, program ini mensasarkan sebanyak 1 juta penyertaan menjelang tahun 2030.

Sepanjang tahun 2025, sebanyak 196 aktiviti promosi dijalankan di seluruh negara, melibatkan lebih 134,000 pelajar IPT menerusi sesi bimbingan dan literasi kewangan.

Syabas kepada semua pelajar USM yang telah menyahut seruan ini! Teruskan menabung, teruskan melabur demi masa depan yang lebih gemilang.

Teks: Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni
Foto : Kementerian Pendidikan Tinggi