![]()
SIMULASI SAHAM USM 2026 PERKASA KEMAHIRAN KEWANGAN DAN DAYA SAING MAHASISWA
USM, PULAU PINANG 18 April 2026 :- Dalam usaha memperkukuh literasi kewangan serta meningkatkan minat mahasiswa terhadap dunia pelaburan, Bursa Young Investor Club (BYIC) Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama LifeChamp Sdn. Bhd. telah menganjurkan program USM Stock Simulation Challenge pada 11 April 2026 yang lalu.
Program yang berlangsung di Dewan Kuliah SK106, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan ini berjaya menarik penyertaan 70 mahasiswa yang berminat mengasah kemahiran analisis dan merangka strategi dalam suasana kompetitif.
Di bawah pimpinan Pengarah Program saudari Ow Hooi Ying, pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Program ini turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu oleh penceramah jemputan, Encik Shane Choo, Pengarah LifeChamp Sdn. Bhd., yang berkongsi pengalaman praktikal serta pandangan beliau dalam dunia pelaburan.
Selain itu, kehadiran wakil industri daripada RHB Investment Bank Berhad, iaitu Encik Jason Ang, Pengarah Cawangan Bayan Baru dan Encik Chong Yee Hong, Pengarah Cultech Publishing Sdn. Bhd., telah menambah nilai program melalui sokongan serta perkongsian jaringan profesional kepada para peserta.
Lebih menarik, pihak RHB Investment Bank Berhad turut menawarkan pembukaan akaun dagangan saham secara percuma, sekali gus memberi peluang kepada mahasiswa untuk melangkah ke dunia pelaburan sebenar dengan lebih mudah dan berkeyakinan selepas tamat program.
USM Stock Simulation Challenge kali ini telah menobatkan sekumpulan empat pelajar Tahun 2 dari Pusat Pengajian Pengurusan, iaitu Looi Er Xian, Hoo Xuan Wei, Tong Jun Yang dan Tew Wei Hao sebagai juara. Kemenangan ini membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM100 dan sijil.
Inisiatif pelaksanaan program ini mendukung SDG 8: Pekerjaan Sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi melalui pemerkasaan kemahiran kewangan dan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan serta cabaran ekonomi masa hadapan. Program ini bukan sekadar meningkatkan literasi kewangan, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi mahasiswa yang celik pelaburan dan berdaya saing tinggi.
Teks/foto: Ow Hooi Ying,
Pengarah Projek
USM Stock Simulation Challenge
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA