EJEN PERUBAHAN BERJIWA NIAGA : SEMARAK AIDILFITRI PERDAMA USM SAKSIKAN PELANCARAN SEMANIS CAFE
USM PULAU PINANG, 15 April 2026 – Dalam suasana Syawal yang penuh keberkatan, semangat kebersamaan dan ukhuwah dalam kalangan mahasiswa anak negeri terus diperkukuh menerusi penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PERDAMA USM 2026 yang berlangsung meriah di The Nest, Kompleks Cahaya Siswa, Universiti Sains Malaysia (USM).
Majlis yang berlangsung pada 12 April 2026 baru-baru ini merupakan anjuran Perkumpulan Siswa/i Pahang Darul Makmur (PERDAMA) USM. Penganjuran ini bukan sekadar platform meraikan Aidilfitri, malah turut diserikan dengan Majlis Pelancaran serta Lawatan Semanis Cafe, sekali gus memperlihatkan usaha memperkasa budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa secara lebih progresif dan berimpak.
Menariknya, Semanis Cafe merupakan inisiatif keusahawanan yang diasaskan oleh Mohd Hasbi Che Mat, 25, pelajar tahun empat dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, sekali gus membuktikan keupayaan mahasiswa dalam mencipta peluang dan meneroka dunia perniagaan di kampus.
Turut hadir ialah Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM bersama Dr. Hazrul Abdul Hamid, Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Puan Hajar Zituakmar Mohd Fauzi, Ketua Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Encik Tuan Salman Tuan Mohd Jaafar, Penasihat 2 PERDAMA USM, Dr. Sah Hardiyantan Ismail, Felo Penasihat PERDAMA USM serta Cik Nik Norhafizah Nik Mohamad Amin, Yang Dipertua PERDAMA USM, Saudara Mohamed Azrin Haji Samah, Setiausaha Agung MAMPAN Kebangsaan bersama delegasi MAPAN Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Majlis ini bukan sahaja menyemarakkan Aidilfitri di kampus, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan mahasiswa yang holistik dan berdaya saing. Semangat kebersamaan ini diharap terus subur dalam melahirkan generasi anak Pahang yang cemerlang, kental dan saling memperkasa.
Teks/foto: Azrin Haji Samah,
Setiusaha Agung MAMPAN Kebangsaan
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA