EJEN PERUBAHAN BERJIWA BESAR: FARIZNIL ASYRAF MENERAJUI DELEGASI SUKASS USM KE BENGKEL SUKARELAWAN KEBANGSAAN
USM PULAU PINANG, 15 April 2026 – Penganjuran program berteraskan kesukarelawanan terus menjadi wadah penting dalam membentuk mahasiswa yang holistik, prihatin dan berdaya saing. Melalui khidmat komuniti, mahasiswa bukan sahaja mengaplikasikan ilmu yang dimiliki, malah turut menyemai nilai empati, kepimpinan dan kerjasama.
Bengkel Memperkasa Sukarelawan Universiti Awam Malaysia Dalam Khidmat Komuniti Mampan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) anjuran KELKES UPNM dengan kerjasama MASKUM pada 10 hingga 12 April 2026 yang dihadiri oleh Saudara Fariznil Asyraf Zairul Akmam, YDP Sekretariat Sukarelawan USM (SUKASS) turut menghimpunkan 32 peserta daripada universiti awam seluruh negara, sekali gus memperkukuh komitmen kesukarelawanan mahasiswa.
Penganjuran program ini juga dilihat selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, yang menekankan pembangunan mahasiswa secara holistik berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan, kemampanan serta tanggungjawab sosial dalam menyumbang kepada komuniti dan pembangunan negara.
Seiring dengan objektif penganjuran, pelbagai aktiviti khidmat komuniti telah digerakkan, termasuk melukis dan mengecat mural di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SK Cheras Jaya serta penanaman pokok bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran murid. Peserta turut dibawa ke Rumah Kanak-kanak Tunku Budriah untuk berinteraksi bersama kira-kira 50 orang kanak-kanak penghuni, sekali gus menyemai nilai kasih sayang dan keprihatinan dalam diri setiap sukarelawan.
Menampilkan barisan panel berpengalaman seperti Encik Muhamad Afiq Zharif, Cik Nurul Izz Aina (Alumni YSS), Encik Mohd Fauzi selaku Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM serta Encik Rizal, Penasihat KELKES UPNM, dengan perkongsian yang membuka minda peserta terhadap kepentingan penglibatan aktif dalam kesukarelawanan serta peranan mahasiswa dalam pembangunan komuniti mampan.
Penglibatan aktif mahasiswa dalam program seumpama ini mencerminkan penghayatan menyeluruh terhadap agenda Students for Society (S4S) yang berteraskan Khidmat Sosial dan Pengurusan Kemanusiaan, sekali gus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai agen perubahan yang berjiwa besar, berempati tinggi dan berupaya memacu transformasi masyarakat secara mampan.
Teks/foto: Fariznil Asyraf Zairul Akmam,
Yang Dipertua Sekretariat Sukarelawan USM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA