TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

USM Unggul di Karnival Varsiti IMT-GT Ke-25 UNP, Padang

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PADANG, INDONESIA, 28 Ogos 2026 :- Universiti Sains Malaysia melakar kejayaan membanggakan pada temasya Karnival Varsiti Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) Ke-25 di Universitas Negeri Padang (UNP) apabila mendominasi kejayaan dalam bidang sukan, kebudayaan, serta pembentangan akademik di peringkat antarabangsa.

Kontinjen USM mempamerkan prestasi menyeluruh apabila berjaya membawa pulang pelbagai pingat menerusi acara sukan berprestij, di samping cemerlang memukau juri dalam segmen kebudayaan dan seminar antarabangsa.
Dalam acara sukan, catur muncul sebagai penyumbang utama apabila Divyadarrshini A/P Loganathan (Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik) berjaya merangkul pingat emas, manakala Hairuldin Said Mohd Najib ( Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik) menyusul dengan pingat perak.

Acara badminton turut konsisten menyumbang tiga pingat menerusi pingat perak dalam kategori perseorangan lelaki, serta gangsa bagi perseorangan wanita dan beregu campuran. Kilauan pingat kontinjen USM dilengkapkan oleh skuad bola tampar wanita dan beregu campuran tenis yang masing-masing meraih pingat gangsa selepas mengharungi persaingan sengit.
USM turut menyerlah di pentas kebudayaan apabila seramai 10 ahli Sekretariat ADIKARMA berjaya memukau juri menerusi persembahan tarian JEJAK.

Di bawah bimbingan Encik Ahmad Assahirin Hamlet dari Sektor Pengkayaan Bakat Seni dan Budaya, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, persembahan bertenaga itu melayakkan mereka dinobatkan sebagai pemenang kategori The Most Spectacular Performance.

Selain sukan dan seni, pasukan seminar USM turut mencipta kejayaan gemilang menerusi pembentangan kertas kerja bersama pelajar universiti serantau. Dinilai berdasarkan kualiti kajian, pembentangan, penyediaan kertas teknikal, kolaborasi, dan inovasi, pasukan USM yang dibimbing oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim berjaya merangkul tiga pengiktirafan sekaligus iaitu Best Mixed Group Presentation, Best Effort Group, dan Best Creative Video.

Kejayaan ini dibarisi oleh Nurul Aina Nisrina Mohamad Fazli (Pusat Pengajian Komunikasi), Aleesha Farhana Mohd Hasnain (Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan), dan Nur Alia Syafiqah Mohamad Hisham (Pusat Pengajian Pengurusan).

Pencapaian menyeluruh ini sekali gus membuktikan kebolehan holistik pelajar USM bukan saja seimbang dalam kecemerlangan akademik malah turut mempunyai ketangkasan dalam acara sukan, serta kehalusan seni budaya di persada antarabangsa.

Sebagai sokongan padu kepada peserta USM, program ini turut diserikan dengan kehadiran Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni) USM, serta Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM dan barisan urusetia USM Karnival Varsiti IMT-GT ke-25.

Karnival edisi ke-25 ini menyaksikan penyertaan aktif seramai 541 pelajar merangkumi 11 daripada 12 institusi pengajian tinggi terkemuka dari tiga negara serantau, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau (Malaysia), Prince of Songkla University, Rajamangala University of Technology Srivijaya, Thaksin University (Thailand), Universitas Syiah Kuala, Universitas Negeri Medan, Universitas Sumatera Utara, dan tuan rumah Universitas Negeri Padang (Indonesia).