Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan
USM Serlah Suara Mahasiswa dalam Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Johor
Oleh : Alisha Sofea Muhd Hafeez, Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia
PULAU PINANG, 25 Ogos 2026 – Delegasi Universiti Sains Malaysia menerusi penglibatan Ikatan Mahasiswa/i Johor USM (IKMAR) dan Sekretariat Rakan Muda USM (SRMUSM) tampil membawa suara mahasiswa dalam Persidangan Meja Bulat Mahasiswa Johor (PMMJ) yang berlangsung pada 23 Ogos 2026 sebagai wadah menghimpunkan aspirasi mahasiswa Johor dari seluruh Malaysia.
Inisiatif anjuran Gabungan Mahasiswa Anak Johor Kebangsaan dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan IDO itu dirasmikan oleh YB Dr. Naqib Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, serta menghimpunkan 26 wakil persatuan mahasiswa Johor dari seluruh Malaysia dengan lebih 100 peserta.
Menerusi persidangan tersebut, delegasi USM membentangkan pandangan, isu dan cadangan berkaitan pembangunan mahasiswa Johor kepada YB Dr. Naqib Ghazali menerusi enam kluster utama, dengan Kluster 1 dan 2 memberi tumpuan kepada kos sara hidup, kebajikan, akses bantuan mahasiswa, kebolehpasaran graduan, peluang latihan industri serta pengukuhan jaringan dengan sektor industri.
Sementara itu, Kluster 3 hingga 6 mengangkat aspek kesihatan mental dan sistem sokongan mahasiswa, pembangunan kepimpinan dan komuniti, hubungan strategik dengan Kerajaan Negeri, kemahiran digital, kecerdasan buatan (AI), inovasi, keusahawanan serta akses, mobiliti dan pengantarabangsaan mahasiswa Johor di peringkat nasional dan antarabangsa.
Penglibatan USM dalam PMMJ memperlihatkan mahasiswa bukan sekadar penerima bantuan, sebaliknya rakan strategik yang berperanan menyumbang idea, pandangan dan cadangan dalam agenda pembangunan negeri, selain membuka ruang kepada mahasiswa daripada pelbagai institusi untuk menyuarakan aspirasi berdasarkan realiti dan cabaran kehidupan mereka.
Keterlibatan berterusan antara mahasiswa, institusi pendidikan, persatuan dan Kerajaan Negeri memperkukuh peranan generasi muda sebagai rakan strategik pembangunan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17: Perkongsian demi Matlamat dalam membina ekosistem anak muda yang lebih inklusif, responsif dan berdaya saing.