Skip to main content
Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Kongsi Tiga Tonggak Kepimpinan Bersama Mahasiswa USM

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 18 Jun 2026 – Lebih 200 pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) menyertai Program Jelajah Parlimen Belia Malaysia yang berlangsung di Dewan Kuliah SK1, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan pagi tadi.

Program anjuran Parlimen Malaysia dengan kerjasama Parlimen Belia Malaysia itu menampilkan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' Dr. Johari Abdul sebagai panel utama.

Menerusi sesi tersebut, Johari menyuntik inspirasi kepada para mahasiswa dengan mengongsikan tiga tonggak utama pembentukan generasi pemimpin masa hadapan iaitu impian yang besar (Big Dream), keberanian (Courage), dan ilmu.

Formula ini disifatkan sebagai asas penting untuk melahirkan modal insan yang berwibawa, berdaya tahan, serta mampu mencorakkan landskap kepimpinan negara.

"Sebagai pelajar, anda mesti mempunyai impian yang besar. Jangan sesekali menghadkan potensi diri kerana impian yang besar mampu mencorakkan masa depan yang lebih baik," ujar beliau semasa menyeru mahasiswa agar berani bercita-cita tinggi demi membawa perubahan dan kejayaan kepada negara.

Dekan PPSK, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan pula menyifatkan program ini sebagai platform bermakna yang membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami dengan lebih dekat fungsi kepimpinan negara serta peranan suara belia dalam mencorakkan masa depan Malaysia.

Turut hadir sesi perkongsian ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas III Pejabat Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Kishan Deepak Buxani.

Beliau menyorot peranan strategik Parlimen Belia Malaysia serta mengetengahkan keunikan Malaysia sebagai satu-satunya negara di dunia yang mempunyai Dewan Parlimen Belia yang beroperasi secara langsung di dalam kompleks Parlimen Malaysia.

Program ini diadakan bertujuan untuk menyediakan wadah perbincangan inklusif bagi membolehkan golongan belia menyuarakan pandangan, meningkatkan kesedaran mengenai sistem demokrasi dan perundangan, serta membentuk jati diri, semangat patriotisme, kepimpinan, dan perpaduan.

Langkah ini juga selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) untuk memperkasa pembangunan bakat secara holistik, sekali gus melahirkan mahasiswa sebagai agen perubahan yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Dekan PPSK (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), Dr. Boo Harn Shian dan Timbalan Dekan PPSK (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Profesor Madya Dr. Paramjit Singh a/l Jamir Singh.