Skip to main content

G17

Sinergi rentas kampus! Kebersamaan MPP USM dan staf Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA
santuni delegasi UiTM membuktikan bahawa kolaborasi strategik adalah kunci utama kepada kecemerlangan mahasiswa.

UiTM Permatang Pauh Perkukuh Kerjasama Strategik Bersama USM

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM, PULAU PINANG, 20 Mei 2026 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Permatang Pauh telah mengadakan lawatan penanda aras ke Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM sebagai usaha memperkukuh pengurusan dan pembangunan mahasiswa melalui perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua institusi.

Berlangsung di The Bricks USM, seramai 29 delegasi terdiri daripada pegawai dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Kampus Permatang Pauh diketuai oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Pulau Pinang, Ahmad Asri Abd Samat bersama Pemangku Timbalan Pendaftar BHEP UiTM Pulau Pinang, Norlida Che Rose serta Timbalan Pendaftar Bahagian Pentadbiran UiTM Pulau Pinang Kampus Bertam, Alina Md Kassim.

Mengalu-alukan kehadiran mereka ke USM ialah Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, Profesor Dr. Azizah Omar.

Azizah berkata, lawatan tersebut sebenarnya telah lama dirancang namun hanya dapat direalisasikan pada kali ini berikutan kekangan masa sebelum ini.

"Saya berharap sesi perkongsian ini dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik dalam memperkasakan agenda pembangunan mahasiswa antara kedua-dua universiti,"ujarnya.

Sesi perkongsian dimulakan oleh wakil Sektor Latihan, Kepimpinan dan Kesukarelawanan (SLKK), Encik Abdul Razak Ghazali yang menerangkan pendekatan USM dalam sistem pengurusan merit pelajar sebagai medium pemerkasaan penglibatan mahasiswa secara holistik.

Perkongsian diteruskan oleh Ketua Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Puan Hajar Zituakmar Mohd Fauzi yang membentangkan hala tuju sektor tersebut dalam melahirkan mahasiswa berdaya saing, inovatif dan berkemahiran tinggi.

Mewakili pelajar, YDP MPP USM, Saudara Azfar Al-Hafiz Azman turut membentang empat hala tuju utama kepimpinan mahasiswa bagi sidang ini iaitu Welfare, Empowerment, Advancement dan Development sebagai teras gerak kerja MPP dalam memperkukuh kebajikan serta pembangunan mahasiswa secara menyeluruh.

Bagi melengkapkan pengisian lawatan, delegasi UiTM turut dibawa melawat beberapa fasiliti pembangunan pelajar termasuk Bilik Persatuan di Aras 2, H21, ruang Sektor Kepimpinan dan Inovasi (The Nest) serta Uptown Mall bagi melihat sendiri ekosistem pembangunan mahasiswa dan kemudahan yang disediakan USM.

Penganjuran lawatan penanda aras ini diharap dapat terus memperkukuh hubungan strategik antara UiTM Kampus Permatang Pauh dan USM di samping menjadi platform perkongsian ilmu serta amalan terbaik ke arah melahirkan mahasiswa yang holistik, berkualiti dan berdaya saing.