Skip to main content

USM DIIKTIRAF SEBAGAI PENERAJU KEBOLEHPASARAN GRADUAN DI BAWAH TALENTBANK GRADUATE EMPLOYABILITY INDEX 2026

HOTEL FOUR SEASONS, KUALA LUMPUR, 11 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kebolehpasaran graduan di Malaysia apabila menerima pengiktirafan berprestij di bawah Talentbank Graduate Employability Index 2026 anjuran Talentbank Sdn. Bhd.

Pengiktirafan ini merupakan hasil dapatan komprehensif kajian nasional yang melibatkan maklum balas serta proses validasi oleh lebih 1,200 majikan daripada pelbagai sektor industri di seluruh negara. Selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia serta agenda kebolehpasaran graduan nasional, USM telah mencatat pencapaian cemerlang dengan meraih kedudukan Top 3 Negara bagi tahun 2026.

Majlis tersebut turut dihadiri Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni bersama Prof. Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM yang bersama-sama menyaksikan pengiktirafan berprestij ini.

Meneruskan kecemerlangan tersebut, USM turut mencatat pencapaian signifikan apabila menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti awam bagi beberapa bidang utama, termasuk Aeroangkasa dan Aeronautik, Analitik, Seni dan Reka Bentuk, Kejuruteraan Elektrik, Sains Kesihatan, Kejuruteraan Mekatronik serta Sains. Dalam masa yang sama, graduan USM turut menunjukkan tahap kebolehpasaran yang tinggi merentasi pelbagai industri, khususnya dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan Sains Komputer.

Di peringkat global, pengiktirafan ini turut diperkuatkan apabila USM diiktiraf sebagai pilihan utama majikan dalam kalangan syarikat multinasional (MNC) bagi bidang seperti Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Kejuruteraan Kimia, Sains Komputer, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Mekatronik.

Lebih membanggakan, pelbagai bidang pengajian di USM turut menerima pengendorsan 6-Star Employer Choice daripada lebih 1,200 majikan nasional, termasuk Perakaunan, Pemasaran, Aeroangkasa, Analitik, Seni Bina dan Bangunan, Seni dan Reka Bentuk serta Sains Kemasyarakatan.

Secara keseluruhannya, pengiktirafan ini mencerminkan tahap keyakinan tinggi pihak industri terhadap kualiti graduan USM, khususnya dari segi kesediaan memasuki alam pekerjaan, penguasaan kompetensi profesional, prestasi cemerlang di tempat kerja serta kecenderungan majikan untuk membuat pengambilan berulang berdasarkan pengalaman positif bersama graduan universiti ini.

Teks: Sektor Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan
Foto: Talentbank Gradute Employability Index
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA

Rangkuman program dan aktiviti yang telah dijalankan oleh warga kerja dan pelajar Universiti Sains Malaysia.