Skip to main content

G3

SENTUHAN ‘MATCHA’ MERIAHKAN LARIAN RAKAN MUDA USM ; PERKUKUH AGENDA SDG 3

USM PULAU PINANG, 5 April 2026 :- Padang Kawad Universiti Sains Malaysia, Kampus Induk pagi ini bertukar menjadi medan kesihatan apabila hampir 850 peserta membanjiri acara larian "RAKAN MUDA: ADA MATCHALAH JOM RUN".

Program julung kali anjuran Sekretariat Rakan Muda USM (SRMUSM) ini bukan sekadar larian biasa, malah merupakan inisiatif murni dalam mendukung agenda kelestarian SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan.

Bertemakan "Beyond Limits, Together Stronger", acara ini berjaya menyatukan mahasiswa dan komuniti setempat dalam satu platform gaya hidup sihat yang santai namun penuh impak.

Kehadiran wira merah dengan kerjasama erat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) cawangan Jalan Perak di akhir program turut memberikan pengalaman larian yang berbeza melalui pancutan air yang menyegarkan, sekali gus menyemarakkan lagi suasana gembira peserta larian sejauh 4KM tersebut.

Pegawai Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Encik Rizal Mad Zin, juga memuji usaha SRMUSM yang berfikiran kreatif dalam menarik minat peserta yang bukan saja terdiri dari kalangan pelajar malah turut diserta oleh masyarakat awam lain.

“Tema Matcha yang sangat dekat di hati generasi masa kini diharapkan dapat membantu peserta membina potensi diri secara seimbang bukan sahaja dari sudut akademik, malah fizikal dan emosi. Ini adalah langkah terbaik untuk melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan positif,” ujar beliau.

Pengarah Projek, Saudari Finnie Felixcy Anak Sugu, melahirkan rasa syukur atas sambutan yang diterima.

"Kami berharap program ini dapat memberi impak besar dan menjadi titik mula bagi peserta untuk mengamalkan gaya hidup seimbang. Melihat keceriaan peserta hari ini, saya berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan," katanya.

Selain cabaran larian, para peserta turut disajikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti sesi pemanasan badan yang bertenaga, ujian kesihatan percuma untuk kesedaran awal dan sesi cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah menarik.

Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA