Skip to main content

G5

Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

Sidang Siswi 2.0: Wadah Mahasiswi IPT Perdebatkan Isu Semasa dan Kepimpinan Wanita

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 22 Jun 2026 – Bagi memperkukuh agenda kepimpinan wanita, USM PINK di bawah seliaan Majlis Perwakilan Pelajar USM telah menganjurkan program Sidang Siswi 2.0: bertemakan Empowered Women, Empowering Future' yang berlangsung selama empat hari bermula 18 Jun 2026.

Berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, program ini menghimpunkan 23 perwakilan dan 17 pemerhati daripada pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Pada edisi kali ini, persidangan dipengerusikan oleh Saudari Ayu Awatif Alias, pelajar Tahun 4 Pusat Pengajian Sains Perubatan USM selaku Speaker, manakala Saudari Lin Xin Bei, pelajar Tahun 3 Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM bertindak sebagai Setiausaha Sidang.

Di bawah kepimpinan Saudari Julita Balqis Badrul Munir selaku Pengarah Projek merangkap Naib Yang Dipertua II MPP USM katanya, persidangan ini menjadi medan penghimpunan mahasiswi daripada USM, UM, UMT, UMS, UKM dan USIM untuk mencetus idea, memperdebatkan isu semasa serta memperkasakan kepimpinan wanita selaras dengan aspirasi SDG 5.

Encik Anwar Mohamed Noor, EXCO Pembangunan Mahasiswa dan Alumni Muda USM turut menzahirkan keyakinan bahawa para peserta yang menyertai persidangan ini merupakan kelompok anak muda yang bakal memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan masyarakat, negeri dan negara.

Pegawai Kebudayaan Kanan Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, Encik Murshid Md Hussein, yang merasmikan majlis penutup mewakili Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM berkata, kepimpinan masa hadapan tidak lagi diukur melalui kuasa atau kedudukan, sebaliknya melalui keupayaan berfikir secara kritikal, menyesuaikan diri dengan perubahan dan menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya menyeru agar para peserta tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik, malah turut membina kompetensi masa depan seperti literasi digital, pemikiran reka bentuk, kemahiran komunikasi strategik serta keupayaan memimpin organisasi dalam suasana yang kompleks dan dinamik,” ujarnya.

Program ini turut dihadiri saudara Azfar Al Hafiz Azman, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia.

Program turut menyaksikan penyampaian tiga pengiktirafan utama kepada peserta cemerlang, iaitu Anugerah Usul Dasar Terbaik kepada Ummi Umairah Mohammad Bakhit (UM), Anugerah Pembahas Terbaik kepada Dhiya Diyana Zainol (UKM) dan Anugerah Perwakilan Khas Sidang Siswi kepada Nur Maisarah Hamdan (USIM), yang mencerminkan komitmen berterusan mahasiswa dalam memperkasa wadah kepimpinan wanita yang progresif dan inklusif.

Program turut diperkaya dengan bengkel pembangunan jati diri dan pemerkasaan wanita yang berlangsung pada 20 Jun 2026 di The Atrium, H21 KOMCA, menampilkan Cik Nuriffah Atiqah, Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Pulau Pinang, dan Cik Shameera Nasreen, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Wanita Majlis Belia Malaysia (MBM) yang berkongsi pandangan, pengalaman serta aspirasi berkaitan pembangunan kepimpinan wanita.