Skip to main content

G5

Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

Perkasa Potensi Wanita: PWUSM Angkat Agenda Kepimpinan

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 2 Julai 2026 – Persatuan Wanita Universiti Sains Malaysia (PWUSM) melangkah ke hadapan dalam memperkukuh agenda pemerkasaan wanita dengan menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sesi 2026–2028, bertempat di Dewan Kuliah V, USM, hari ini.

Mesyuarat yang dihadiri oleh 98 ahli itu menyaksikan Profesor Dr. Azizah Omar sekali lagi diberi mandat untuk menerajui persatuan sebagai Pengerusi bagi penggal baharu.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, berkata bahawa semangat profesionalisme, kepimpinan, dan ketekunan warga wanita merupakan aset kritikal dalam memacu kecemerlangan serta kelestarian universiti.

“Komitmen PWUSM kekal utuh sebagai platform yang menyokong, memperkasa, dan menyatukan warga wanita agar terus memberikan sumbangan cemerlang kepada universiti serta masyarakat secara inklusif,” ujar beliau ketika merasmikan majlis tersebut.

AGM kali ini turut menjadi wadah strategik untuk menilai pencapaian dan mengukuhkan tadbir urus persatuan melalui pembentangan laporan tahunan serta penyata kewangan.

Selain itu, majlis turut memberi penghargaan kepada ahli yang menunjukkan dedikasi luar biasa sepanjang sesi terdahulu.

Bagi menambah nilai kepada penganjuran kali ini, satu sesi perkongsian ilmu bertajuk ‘Peranan Persatuan dalam Kepimpinan Wanita’ telah diadakan.

Sesi tersebut dikendalikan oleh Dr. Faridah Jaafar dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM selaku moderator, dengan menampilkan barisan panel berwibawa iaitu Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai; serta dua Pegawai Hal Ehwal Islam Pusat Islam USM, Puan Norharizan Hussain dan Puan Nor Fadhilah Wahab.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Penaung PWUSM, Yang Berbahagia Datin Seri Roslina Ahmad Mohammad.

Penganjuran AGM ini mencerminkan komitmen berterusan PWUSM dalam membina jaringan strategik dan memupuk budaya kepimpinan inklusif.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi USM untuk menjadi institusi berdaya saing, selain mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 5: Kesaksamaan Gender dalam memperteguh agenda pemerkasaan wanita di peringkat universiti.