Skip to main content

G3

Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

Gerakan Prihatin PINK USM Pacu Kesedaran Kesihatan Wanita di Kampus

Oleh : Perkumpulan Inklusif Nadi Kampus (PINK)
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 23 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan komitmen dalam memperkasa kesejahteraan warga kampus menerusi inisiatif pemberian 5,400 pek tuala wanita percuma kepada pelajar dan kakitangan wanita.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu merupakan hasil kolaborasi antara Perkumpulan Inklusif Nadi Kampus (PINK) USM dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, dengan kerjasama strategik daripada Blood Malaysia selaku penaja utama.

Pengarah Projek, Julita Balqis Badrul Munir yang juga Naib Yang Dipertua II MPP USM berkata, inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban kos sara hidup, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan serta kebersihan haid dalam kalangan komuniti universiti.

"Inisiatif ini bukan sekadar bantuan keperluan asas, malah merupakan langkah proaktif kami dalam memupuk budaya kampus yang lebih prihatin, inklusif dan menyokong kesejahteraan bersama," jelasnya.
Bagi memastikan kelancaran dan capaian yang meluas, pengagihan tuala wanita dilaksanakan secara berperingkat di tiga lokasi strategik. Program bermula di Foyer Dewan Kuliah (DK) pada 11 Jun, disusuli pengagihan di Kafe Bakti dan Harapan pada 15 Jun, sebelum berakhir di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK).

Sementara itu, Yang Dipertua PINK USM, Nur Zulaikha Zulkifley menyambut baik sokongan yang diberikan oleh pihak Blood Malaysia yang menyumbangkan 5,400 pek tuala wanita tersebut. Menurut beliau, kerjasama ini menjadi platform berkesan untuk memperluas akses kepada keperluan asas wanita di dalam kampus.

Penganjuran program ini mencerminkan dedikasi berterusan USM dalam memperkukuh agenda kebajikan serta kesaksamaan gender. Usaha ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 bagi Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, serta SDG 5 bagi Kesaksamaan Gender, dalam usaha universiti mewujudkan ekosistem kampus yang lebih sejahtera