PROGRAM SMART ABILITY PERKASA PELAJAR OKU USM KUASAI TEKNOLOGI AI
USM PULAU PINANG, 15 Oktober 2025 – Unit Kebajikan Pelajar & OKU, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia telah menganjurkan Program Smart Ability: Empowering Inclusive Students of USM Through AI Technology di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang, Pulau Pinang.
Hadir merasmikan program ialah Profesor Dr. Azlan Amran, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, bersama-sama Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM, Cik Sheilawanis Abdul Karim, Ketua Unit Kebajikan Pelajar & OKU BHEPA serta Encik Amran Abd Samad, Pegawai Teknologi dari Pusat Pengajian Sains Komputer.
Dalam ucapannya, Azlan menegaskan bahawa penguasaan teknologi, khususnya kecerdasan buatan, merupakan elemen penting dalam memperkasa potensi diri pelajar OKU serta memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif, seimbang dan relevan di era digital.
Program ini menghimpunkan seramai 42 peserta, terdiri daripada pelajar OKU dan rakan sokongan mereka, PALS (Buddies OKU). Antara pengisian utama ialah sesi perkongsian kepakaran dalam bidang AI melalui pendekatan interaktif dan mesra pengguna.
Sesi yang dikendalikan sendiri oleh Encik Amran memberi peluang kepada peserta memahami konsep asas AI dengan lebih jelas dan menyeronokkan, seiring dengan hasrat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dan Inklusif untuk Semua.
Sepanjang program, peserta mengikuti empat modul utama yang merangkumi asas AI, teknik komunikasi berkesan melalui prompting, serta penggunaan pelbagai alatan AI bagi penghasilan kandungan berbentuk teks, imej dan video, termasuk penerokaan aspek visual dan audio. Aktiviti bonding dan team building turut diadakan bagi mengeratkan hubungan antara pelajar OKU dan rakan sokongan PALS, yang akan terus memainkan peranan penting dalam membantu aspek akademik dan pembangunan diri sepanjang Sidang Akademik 2025/2026.
Program Smart Ability ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi AI kepada pelajar OKU, malah menjadi platform penting dalam membina keberanian, keyakinan dan keupayaan mereka untuk meneroka dunia digital secara berdikari. Usaha ini turut mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkasa pendidikan inklusif, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam mendepani cabaran masa depan.
Teks/foto: Unit Kebajikan Pelajar & OKU BHEPA