Skip to main content

HIJAUKAN BANDAR, SELAMATKAN LAUTAN : INISIATIF KAKUSMA BERGANDING BAHU PELIHARA KEINDAHAN DAN KEBERSIHAN PANTAI

USM PULAU PINANG, 20 Mei 2025 – Kumpulan Anak-Anak Negeri Kedah Universiti Sains Malaysia (KAKUSMA), telah berjaya menganjurkan program KAKUSMA CARE FOR EARTH di kawasan pesisiran Pantai Bersih, Bagan Ajam pada 18 Mei 2025.

Dengan penglibatan seramai 35 sukarelawan termasuk ahli dan bukan ahli KAKUSMA, program yang mengetengahkan tema "Hijaukan Bandar Selamatkan Lautan" ini merupakan inisiatif bagi memupuk kesedaran sivik dan cintakan alam sekitar dengan memberi tumpuan kepada aktiviti pembersihan pantai melalui aktiviti gotong-royong.

Selaku Pengarah Projek, Muhammad Aliff Imran menyeru agar semua pihak terus berganding bahu memelihara keindahan dan kebersihan pantai.

"Meskipun tindakan kita nampak kecil, kesannya sangat besar terhadap masa depan bumi." ujarnya.

Turut hadir, Saudara Muhamad Farhan Muhamad Hafizal, YDP KAKUSMA bagi menyatakan sokongan penuh terhadap program berbentuk advokasi alam sekitar ini.

Dengan penerapan agenda Matlamat Pembangunan Mampan SDG 14 : Kehidupan Di Bawah Air melalui sasaran dalam menguruskan dan melindungi ekosistem laut dan pantai secara lestari bagi mengelakkan kesan buruk yang signifikan, termasuk dengan memperkukuh daya tahan ekosistem dan bertindak ke arah pemulihannya demi lautan yang sihat dan produktif.

Pelaksanaan program ini juga bertujuan bagi menyemai rasa tanggungjawab di kalangan pelajar dan orang awam terhadap alam semula jadi serta mendorong tindakan berterusan untuk menjaga kebersihan dan kelestarian persekitaran.

Teks & Foto: KAKUSMA USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA