CAKNA SISWA 3.0: INISIATIF SEKRETARIAT PERKIM USM MEMPERKASA KEBAJIKAN MAHASISWA MEMERLUKAN
USM, PULAU PINANG 13 Januari 2026 :- Pelbagai usaha terus dilakukan oleh pihak universiti termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pemain industri, sukarelawan komuniti dan agensi kerajaan bagi membantu mahasiswa khususnya daripada keluarga asnaf, golongan berpendapatan rendah (B40) dalam memastikan mereka terus menerima bantuan asas serta keperluan harian lain sepanjang tempoh pengajian di universiti.
Terbaru menerusi inisiatif kerajaan MADANI dalam usaha memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa melalui inisiatif Dapur Siswa MADANI yang diterajui oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, dengan peruntukan RM15 juta bagi memastikan golongan pelajar kurang berkemampuan mendapat akses makanan mencukupi.
Selaras dengan SDG 2: Kelaparan Sifar dalam usaha menamatkan kelaparan dan meningkatkan akses kepada makanan, Program Cakna Siswa: Care and Share Bites 3.0, anjuran Sekretariat PERKIM USM juga mengambil inisiatif sama dalam membantu pejajar yang memerlukan.
Bukan sahaja meringankan beban mahasiswa yang memerlukan, inisiatif yang ditunjukkan turut memupuk budaya keprihatinan dan tanggungjawab sosial selaras dengan prinsip Student for Society (S4S) melalui khidmat sosial, pengurusan kemanusiaan dan kesejahteraan pelajar, sekaligus menyokong pembangunan mampan dan melahirkan generasi mahasiswa yang cakna serta berjiwa masyarakat.
Bertempat di Dewan Pembangunan Siswa 2, Kompleks Cahaya Siswa, USM pada 9 Januari 2026 baru-bari ini, program yang diterajui oleh saudari Nur Husna selaku pengarah program ini telah memberi manfaat kepada 20 penerima bantuan, dengan komitmen padu 21 ahli Sekretariat PERKIM yang terlibat dalam pengagihan.
Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Sahad, Penasihat 1 PERKIM USM 2025/2026, Prof. Madya Dr. Suhaila Abdullah, Penasihat 2 PERKIM USM 2025/2026 serta saudara Muhammad Akmal Arif Rusdi, MPP Kebajikan dan Kesihatan USM.
Teks/Foto: Sekretariat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM)
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA