Skip to main content

KUNJUNGAN KASIH 2026: PERKASA PERKUKUH KESEDARAN SOSIAL BERSAMA KOMUNITI LUAR BANDAR

USM, PULAU PINANG, 10 Mac 2026 – Dalam usaha memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti desa serta meningkatkan kesedaran terhadap pembangunan masyarakat yang inklusif, Perkumpulan Anak-Anak Sarawak (PERKASA), USM telah menganjurkan program tahunan Kunjungan Kasih 2026 bertempat di Rumah Changgai, Sungai Sah, Niah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Suai, Miri Sarawak.

Mengangkat tema “Seruran Nuju Pemansang”, program yang berlangsung dari 4 hingga 7 Mac 2026 ini menzahirkan perjalanan menuju masa depan yang lebih baik melalui semangat kebersamaan. Di bawah pengurusan Pengarah Projek Dominic Antasin, seramai 42 mahasiswa terlibat dan mereka berpeluang mendekati komuniti luar bandar, merasai kehidupan masyarakat Iban yang kaya dengan adat resam, serta menghayati nilai kebersamaan, budaya, dan semangat gotong-royong.

Sepanjang program, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti pendidikan dan kemasyarakatan yang saling melengkapi. Di SMK Suai, program “Aram Tama U” memberi pendedahan kepada pelajar Tingkatan Enam tentang peluang melanjutkan pengajian di USM, sementara slot perkongsian inspirasi oleh YDP PERKASA USM, Saudari Nur Aidawani Marzuki, menyuntik semangat pelajar untuk terus mengejar kejayaan akademik.

Sejajar dengan inisiatif Student for Society (S4S), peserta terlibat dalam aktiviti bersama penduduk Rumah Changgai seperti mengecat rumah panjang, riadah di Giam Bidai, serta sesi perkongsian mengenai pendidikan dan kerjaya untuk anak-anak komuniti.

Majlis Makan Malam Kunjungan Kasih 2026 telah disempurnakan oleh Encik Steven Kong Kai Seng, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa program ini peluang kepada peserta untuk mengenali dan merasai kehidupan yang kaya dengan tradisi serta budaya, sambil memupuk semangat bermuafakat serta saling memahami dalam masyarakat.

Pelaksanaan program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti luar bandar, malah memberi pengalaman bermakna yang memperkukuh semangat kerjasama, kepimpinan, dan kesedaran sosial di kalangan pelajar. Inisiatif ini turut memperkukuh USM sebagai institusi yang komited terhadap pembangunan Masyarakat.

Teks: Christopher Karol
Foto: Perkumpulan Anak-anak Sarawak (PERKASA)
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA