Skip to main content

EMPOWERMOM CREATION : INISIATIF USM BANTU IBU TUNGGAL JANA PENDAPATAN

USM, PULAU PINANG, 24 Januari 2026:- EmpowerMom Creation (EMC), Universiti Sains Malaysia, sebuah syarikat perusahaan sosial di bawah penyeliaan Encik Koh Kean Hoe, Ketua Pegawai Eksekutif yang dikendalikan oleh Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA mengambil inisiatif melalui program Pemindahan Ilmu Fasa 2 bagi memperkasa komuniti kaum wanita khususnya ibu tunggal yang berpendapatan rendah (B40) melalui kemahiran, pemindahan ilmu, dan sokongan keusahawanan.

Program yang berjalan sejak November 2025 ini telah banyak membuka jalan dalam memperkasa kaum ibu melalui latihan kemahiran keusahawanan secara praktikal, membina keyakinan diri serta peluang menjana pendapatan keluarga.

Seiring dengan itu, majlis penutup Pemindahan Ilmu Fasa 2 – EmpowerMom Creation (EMC), USM yang diadakan di Dewan Pembangunan Siswa 1, USM pagi tadi diadakan bagi mengiktiraf pencapaian, dedikasi, dan semangat juang para ibu tunggal, sambil menonjolkan kejayaan mereka dalam memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari.

Prof. Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA berkata bahawa, peranan EMC melalui program ini bukan sahaja menyediakan latihan kemahiran tetapi juga membina platform pemerkasaan komuniti yang berimpak dan relevan, khususnya ibu tunggal berpendapatan rendah.

Dalam program yang sama, Encik Cheah Peng Guan, Ketua Staf Pusat Khidmat ADUN Batu Uban, yang mewakili YB Kumaresan A/L Aramugam turut berkata bahawa kejayaan program ini adalah hasil kerjasama erat antara Jabatan Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), sokongan pelbagai pihak berkepentingan, serta penglibatan aktif komuniti setempat.

Seorang peserta yang memenangi anugerah ‘Best Mom Award’, Puan Lee Mei Su ketikan ditemui berkata, program ini banyak membantu saya untuk belajar menjana pendapatan.

“Saya sangat gembira dan tidak percaya saya akan memenangi hadiah ini kerana peserta lain juga hebat-hebat belaka.” ujarnya lagi.

Selaras dengan SDG 1: Tiada Kemiskinan dan SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia sentiasa mewujudkan program-program yang dapat memperkasa komuniti bagi memperkukuh kesejahteraan mereka serta mewujudkan peluang pendapatan mampan, inklusif, dan berimpak.

Teks/foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA