PENUTUP IMT-GT KE-24 KUKUH JALINAN PERSAHABATAN, UNIVERSITAS NEGERI PADANG (INDONESIA) DIPILIH SEBAGAI TUAN RUMAH EDISI KE-25 TAHUN DEPAN
USM PULAU PINANG, 2 November 2025 :- Karnival Varsiti IMT-GT ini bukan sekadar sebuah acara sukan, seminar dan kebudayaan semata-mata, tetapi ia merupakan lambang dan manifestasi paling berharga bagi jalinan persahabatan, perpaduan, dan kerjasama erat yang telah lama terjalin.
Program pemerkasaan pelajar dan komuniti setempat yang berusia lebih 20 tahun ini kini dianggotai oleh 12 buah universiti di wilayah segitiga Indonesia - Malaysia – Thailand terdiri dari USM, UUM, UniMAP, UiTM Arau (Malaysia), Walailak University, Prince Songkla University, Rajamangala University of Technology Srivijaya, Thaksin University (Thailand), Universitas Syiah Kuala, Universitas Negeri Medan, Universitas Sumatera Utara dan Universitas Negeri Padang (Indonesia).
Berlangsung meriah, majlis penutup Karnival Varsiti IMT-GT Ke-24, Thaksin University, Kampus Songkhla, Thailand yang merupakan tuan rumah pada kali ini telah diadakan pada 31 Oktober 2025 di PREM Auditorium Hall baru-baru ini.
Hadir semasa majlis penutup adalah Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Presiden Majlis Varsiti IMT-GT merangkap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Utara Malaysia, Prof. Siraya Sitthisham, Naib Presiden, Pembangunan Pelajar dan Hubungan Sosial, Thaksin University, Ahli Majlis IMT-GT 2025, pegawai-pegawai utama universiti dan sekretariat IMT-GT 2025.
Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA