Skip to main content

INOVASI TANPA SEMPADAN : USM DOMINASI PERTANDINGAN KESELAMATAN AI GLOBAL

USM, PULAU PINANG 25 Februari 2026 :- Universiti Sains Malaysia sekali lagi membuktikan taringnya di persada global apabila dinobatkan sebagai juara serantau dalam pertandingan berprestij Singapore AI Safety Red Teaming Challenge 2026.

Kejayaan luar biasa ini menyaksikan pasukan USM mengatasi peserta dari 14 buah negara Asia yang lain, sekali gus membuktikan bahawa kepakaran IPTA tempatan kini menjadi rujukan utama dalam bidang keselamatan Kecerdasan Buatan (AI) dunia.

Berlangsung di Crowne Plaza Changi Airport pada 21 Januari 2026 yang lalu, pertandingan anjuran Infocomm Media Development Authority (IMDA) ini menumpukan pengujian keselamatan AI bertemakan Multilingual and Multicultural (MLMC), iaitu penilaian kerentanan sistem AI terhadap risiko kebocoran data dan kandungan sensitif merentas bahasa serta budaya.

Kejayaan ini merupakan hasil kolaborasi strategik pasukan elit USM yang menggabungkan kepakaran rentas disiplin antara bidang Sains Komputer dan Linguistik dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, iaitu Dr. Boh Phaik Ean dan Cik Ida Suhaini Tajul Urus, serta pakar dari Pusat Pengajian Sains Komputer, iaitu Prof. Madya Dr. Tan Tien Ping dan Dr. Mohd Najwadi Yusoff, bersama wakil pelajar Lim Wen Hao. Sinergi kepakaran rentas disiplin ini membolehkan pendekatan pengujian yang holistik dalam menilai keselamatan dan integriti sistem AI.

Dalam persaingan yang sengit tersebut, Lim Wen Hao mencatatkan skor tertinggi, sekali gus melayakkan pasukan USM membawa pulang gelaran juara serantau, membuktikan kualiti akademik dan keupayaan penyelidikan USM dalam mendepani cabaran teknologi masa hadapan seperti AI Safety dan tadbir urus digital.

Pasukan USM menggabungkan analisis teknikal dan linguistik secara inovatif dalam pengujian keselamatan AI, membolehkan pendekatan yang lebih mendalam terhadap kerentanan sistem.

Delegasi turut memperluas kompetensi melalui penyertaan dalam AI Assurance Base Camp serta bengkel teknikal bersama pakar daripada AI Verify Foundation dan International Network of AI Safety Institutes, sekali gus memperkukuh pemahaman terhadap piawaian keselamatan AI dan jaringan kerjasama global.

Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti keunggulan mahasiswa dan penyelidik kita di pentas dunia. Selaras dengan hala tuju RPTN 2026-2035 yang digariskan oleh KPT, USM akan terus komited melahirkan inovasi yang bukan sahaja mencabar sempadan ilmu, tetapi memberi impak terus kepada masyarakat dan ekonomi global.

Teks: Lim Wen Hao;
Foto: Infocomm Media Development Authority (IMDA) Singapura
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA