Skip to main content

MAHASISWA PERLIS & PENDUDUK SANGLANG BERSATU DALAM KASEH RAMADAN 3.0

USM, PULAU PINANG, 3 Mac 2026 – Semangat kesukarelawanan menyemarakkan Dewan Kampung Rama/Permatang Keriang apabila mahasiswa dan penduduk tempatan bergabung tenaga menjayakan Program Kaseh Ramadan 3.0.

Program tahunan anjuran Angkatan Mahasiswa/i Perlis Universiti Sains Malaysia (AMLIS USM) dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) setempat ini bukan sekadar aktiviti agihan makanan, malah menjadi wadah menyatukan komuniti dan mahasiswa.

Bermula seawal jam 9 pagi, suasana dewan riuh dengan semangat gotong-royong. Sebanyak 200 bungkus bubur lambuk dan daging masak kicap berjaya disediakan oleh 38 mahasiswa dan 20 wakil KRT, sebelum diagihkan dari rumah ke rumah kepada penduduk berdekatan.

Disamping mempereratkan hubungan sillaturrahim, program ini bukan sahaja dapat meringankan beban masyarakat, malah mendokong amalan baik kelestarian (SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh).

Penglibatan mahasiswa dari pelbagai persatuan termasuk Majlis Majlis Mahasiswa Anak Perlis, PERMAPs UPSI, PERMAPs UKM, PERMAPs USIM, PERMAPs UIAM, Kelab Patriot Chapter Perlis UUM dan Komuniti Mahasiswa Perlis menunjukkan komitmen jitu dalam agenda Students for Society (S4S) bagi melahirkan mahasiswa yang berjiwa masyarakat.

Pengarah Projek, Nuralia Safira Suhairi, melahirkan rasa syukur atas kejayaan program yang telah dijalankan.

“Meskipun dilihat sederhana, proses perancangannya menuntut komitmen yang tinggi. Namun, melihat senyuman penduduk apabila menerima juadah, segala cabaran terasa berbaloi,” ujar beliau.

Hadir menyantuni para sukarelawan ialah Pengerusi KRT Kampung Rama/Permatang Keriang, Encik Ku Hashiam Bin Ku Bakar dan Penasihat 1 AMLIS USM, Puan Haslinda Binti Yusof.

Inisiatif ini membuktikan bahawa sinergi antara golongan mahasiswa dan komuniti setempat mampu membentuk impak positif serta melahirkan insan yang lebih peka terhadap tanggungjawab sosial.

Teks: Aina Hazirah Hisham, Setiausaha AMLIS USMFoto: AMLIS USMSuntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA