KOLABORASI PERMAS–PETAS PACU AGENDA SDG DI KAMPUS SERANTAU
USM, PULAU PINANG, 4 November 2025 – Program PERMAS–PETAS Fly High: Youth Impact Towards Sustainability Across Borders in Singapore yang berlangsung dari 27 - 30 Oktober 2025 telah mencipta kolaborasi cemerlang antara Perkumpulan Mahasiswa/i Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERMAS) serta Pelajar Tanpa Asrama (PETAS), USM bersama Kelab Earthlink, Nanyang Technological University (NTU), Singapura.
Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman mahasiswa terhadap inisiatif kelestarian dan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat kampus, di samping menjadi platform strategik bagi pertukaran idea, perkongsian ilmu serta pemerkasaan hubungan antara institusi serantau ke arah memperkasa pendidikan lestari di Asia Tenggara.
Diketuai oleh Pengarah Projek, Saudara Rayner Mu, program ini menampilkan pengisian komprehensif termasuk sesi TED Talk SDG oleh Dr. Suziana, Penggawa PETAS USM, yang turut disertai Dr. Wan Norhaniza, Penasihat PERMAS USM, Cik Elsie, pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar NTU serta wakil pelajar Kelab EarthLink NTU. Sesi tersebut memperincikan pelbagai usaha universiti dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti kampus melalui pengamalan konsep Green Campus dan strategi penyahkarbonan.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai impak signifikan dalam meningkatkan kesedaran dan penglibatan mahasiswa terhadap agenda kelestarian global. Inisiatif inovatif NTU, termasuk kempen perlindungan hidupan liar daripada pantulan bangunan, turut menjadi inspirasi utama kepada peserta.
Suntingan teks: Unit Media dan Penerbitan BHEPA