TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Pelajar PPBLT USM Perluas Jaringan Akademik Malaysia-Jepun

Oleh : Persatuan Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 23 Oktober 2026 – Seramai 10 pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), Universiti Sains Malaysia, penerima tajaan Nitori International Scholarship Foundation telah menyertai program Japan Language and Culture Camp: Bridging Cultures: A Japan-Malaysia Academic Immersion and Exchange (JLCC 2026) di Tokyo, Jepun.

Program selama lapan hari bermula 10 Oktober 2026 itu diketuai oleh Profesor Madya Dr. Shaidatul Akma Adi Kasuma selaku pensyarah pengiring dan turut disertai dua orang wakil jawatankuasa alumni PPBLT.

Di bawah pimpinan pengarah projek, Nur Alifah Eliyana Abdul Fatah, lawatan strategik ini memberi fokus terhadap pengukuhan hubungan rentas budaya, pendedahan industri dan pertukaran bahasa menerusi tiga rakan kerjasama utama, iaitu ibu pejabat NITORI di Kita City, Meiji University di Kampus Surugadai dan Tokyo University of Foreign Studies (TUFS).
Lawatan ke ibu pejabat NITORI yang dikendalikan khusus oleh Puan Hayakawa dan Encik Satoshi Okuda, Ketua Setiausaha NITORI, memberi pendedahan tentang budaya kerja dan komunikasi korporat, manakala kunjungan ke Meiji University bersama Profesor Toru Yamada merangkumi lawatan kampus serta perkongsian seni dan busana tradisional Malaysia.

Di TUFS, delegasi menyertai sesi pertukaran budaya bersama Profesor Soda Naoki, Puan Faridah dan pelajar jurusan Bahasa Melayu melalui persembahan tarian, lawatan kampus serta kuiz interaktif Bahasa Jepun dan Bahasa Melayu yang mengetengahkan tiga dialek utama di Malaysia menerusi pendekatan Student Buddy.

Di bawah bimbingan Dr. Azril Ali, Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) dan Dr. Alla Baksh Mohamed Ayub Khan, pensyarah universiti PPBLT, penyertaan dalam JLCC 2026 terus memperkaya pengalaman pembelajaran mahasiswa melalui pendedahan antarabangsa, memperkukuh jaringan akademik dan industri Malaysia-Jepun serta menyokong agenda pengantarabangsaan USM dan SDG 4: Pendidikan Berkualiti.

Penampilan segak delegasi USM turut diselari dengan penajaan jaket angin (windbreaker) rasmi daripada Elgini yang direka khas dengan elemen tipografi Jepun serta lambang institusi ini yang dipakai sepanjang siri lawatan sebagai simbol kebersamaan dan identiti delegasi Malaysia.