TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Kepimpinan

12 Universiti dari Thailand Perkukuh Jaringan Kebajikan Pelajar Bersama USM

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM, PULAU PINANG, 7 September 2026 – Universiti Sains Malaysia terus memperluas jaringan strategik serantau apabila menerima kunjungan delegasi 12 universiti dari Thailand bagi memperkukuh perkongsian amalan terbaik dalam aspek kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan pelajar.

Berlangsung di Dewan Persidangan Universiti USM, kunjungan yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Thanita Lerdpornkulrat, Naib Presiden Hal Ehwal Pelajar, Universiti Srinakharinwirot merangkap Presiden Jawatankuasa Pembangunan Potensi Pelajar, Majlis Presiden Universiti Thailand itu memberi tumpuan kepada perkongsian pengalaman berkaitan kebajikan pelajar serta penyediaan kemudahan dan sokongan yang kondusif kepada mahasiswa.

Kehadiran delegasi Thailand disambut oleh Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, bersama Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Ketua Pentadbiran BHEPA USM, Dr. Abdul Rais Abdul Latif, Pengerusi Majlis Pengawa USM, serta pegawai-pegawai BHEPA.
Dalam sesi perkongsian, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar mengetengahkan gerak kerja BHEPA yang memberi penekanan terhadap kebajikan dan kesejahteraan pelajar melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan keperluan mahasiswa diberi perhatian secara menyeluruh.
Sesi tersebut turut menjadi medan pertukaran pandangan antara kedua-dua pihak mengenai pendekatan pengurusan kebajikan, penyediaan fasiliti dan sokongan mahasiswa, sekali gus memperkayakan perkongsian pengalaman dalam pengurusan hal ehwal pelajar di peringkat serantau.

Turut berkongsi pengalaman ialah Azfar Al-Hafiz Azman, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, yang mengetengahkan peranan MPP dalam mengurus, menyuarakan dan memperjuangkan hal ehwal kebajikan pelajar sebagai penghubung antara mahasiswa dengan pihak universiti.
Kunjungan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Thailand, malah memperlihatkan komitmen USM dalam memperkasakan agenda pembangunan pelajar melalui pertukaran ilmu dan amalan terbaik, selaras dengan SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.