Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan
Lakshmy Baskaran Wakili Malaysia di International Youth Festival 2026, Rusia
Oleh : Lakshmy Baskaran, Tahun Akhir, Program Patologi Pertuturan, Kampus Kesihatan USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 23 September 2026 :- Seorang mahasiswa tahun akhir Program Patologi Pertuturan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Saudari Lakshmy Baskaran, telah diberi peluang untuk mewakili Malaysia sebagai salah seorang daripada 52 delegasi belia Malaysia ke International Youth Festival (IYF) 2026 yang berlangsung pada 11 hingga 17 September 2026 di Ekaterinburg, Rusia.
Penyertaan tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan buat USM apabila Lakshmy menjadi antara wakil institusi pengajian tinggi negara yang membawa nama Malaysia ke platform belia antarabangsa yang menghimpunkan kira-kira 10,000 peserta dari 190 negara seluruh dunia.
Program ini dianjurkan sebagai platform antarabangsa yang memberi ruang kepada golongan belia untuk menyertai pengisian berkaitan kepimpinan, pembangunan belia, pertukaran budaya serta perkongsian pengalaman di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sepanjang penyertaan, Lakshmy terlibat dalam pelbagai pengisian antarabangsa yang membuka ruang kepada pertukaran pandangan, pembinaan jaringan serta interaksi bersama belia dan pemimpin muda dari seluruh dunia.
Antara pengisian yang menyerlah ialah World Youth Parade, menyaksikan identiti, tradisi dan warisan budaya Malaysia dapat dipertonton kepada pelajar antarabangsa dan aktiviti ‘scavenger hunt’ yang membawa peserta meneroka dan mengenali sejarah serta identiti negara sekali gus menjadi medium diplomasi budaya, sejarah, warisan dan keunikan Malaysia dikongsikan bersama golongan muda dari pelbagai negara.
Lakshmy turut berpeluang menyertai sesi Diplomatic Talk dan TED-style Talk yang mengetengahkan perkongsian idea, perspektif global serta isu berkaitan belia dan pembangunan masyarakat.
Penyertaan dalam festival ini juga mencerminkan peranan belia Malaysia sebagai duta kecil negara, bukan sahaja dalam memperkenalkan budaya dan warisan, malah dalam membawa suara, pengalaman serta aspirasi generasi muda Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Ianya menjadi satu pengalaman dalam bidang Patologi Pertuturan bermakna buat saya. Dengan pengalaman kepimpinan, komunikasi dan penglibatan saya di peringkat antarabangsa, kejayaan ini menjadi satu lagi detik bersejarah kerana dapat membanggakan Universiti Sains Malaysia, khususnya apabila seorang mahasiswa tahun akhir Kampus Kesihatan diberi kepercayaan untuk membawa nama universiti dan negara dalam sebuah platform belia antarabangsa.
Penyertaan tersebut bukan sekadar perjalanan ke luar negara, tetapi menjadi wadah untuk mengangkat nama Malaysia, memperkenalkan warisan negara, membina jaringan antarabangsa dan membawa identiti mahasiswa USM ke pentas dunia.