TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kepimpinan

Hari Interaksi Permulaan Fasa Mencabar Pelatih Kor SUKSIS USM – Komandan

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 1 November 2026 :- Walaupun perjalanan anda sebagai pelatih Kor SUKSIS USM masih jauh terutamanya pelatih baharu, gunalah sebaik-baiknya masa ini untuk melatih diri anda semua dengan nilai disiplin, kepimpinan, tanggungjawab, dan semangat setia kawan yang dibentuk akan terus hidup dalam diri anda semua.

Demikian ujar Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan, USM dan Komandan Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika menghadiri Majlis Makan Malam Hari Interaksi Kor SUKSIS USM  di Dewan Utama Desasiswa bagi Sidang Akademik 2026/2027.

“Hari Interaksi hanyalah satu permulaan kecil sebelum anda melangkah ke fasa latihan yang jauh lebih mencabar dalam Kor SUKSIS,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Saudara Aniq Afi Affandy Azman selaku Pengarah Projek turut mengucapkan selamat datang ke keluarga Kor SUKSIS USM dan tahniah kerana telah berjaya melalui fasa ini.

Program anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kor Suksis USM ini diadakan untuk meraikan 58 pelatih baharu yang telah menamatkan latihan fasa pertama selama tiga hari bagi memperkenalkan dunia SUKSIS dengan nilai-nilai yang menjadi asas dalam pasukan ini seperti disiplin, hormat-menghormati, kerjasama dan tanggungjawab.

Memasuki fasa seterusnya, pelatih baharu akan mengikuti latihan kawad dan jasmani pada setiap hari Isnin dan Khamis, mengikuti kelas undang-undang dan beberapa latihan lain.

Turut hadir bersama ialah Superitendent Polis/KS Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun, Timbalan Komandan Kor SUKSIS USM, Inspektor Siti Sarah Abdul Rahim, Pegawai Latihan KOR SUKSIS USM, Sarjan Zuraida Dahari, Ketua Jurulatih Kor SUKSIS USM, Yong Wei Hong, YDP Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kor Suksis USM Sidang Akademik 2026/2027, 70 pelatih pertengahan dan 50 pelatih senior.