Skip to main content

Perbarisan Badan Beruniform Sidang Akademik 2025/2026 Himpunkan Semangat Kesatuan dan Jati Diri Mahasiswa

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM, PULAU PINANG, 6 Jun 2026 – Keutuhan disiplin, semangat kesatuan dan kecemerlangan kepimpinan yang diterapkan melalui badan beruniform menjadi asas penting dalam membentuk mahasiswa yang berwibawa dan berdaya saing.

Program Perbarisan Badan Beruniform Sidang Akademik 2025/2026 anjuran Pusat Rancangan Kokurikulum Universiti Sains Malaysia telah diadakan di Padang Kawad USM bagi menghimpunkan badan-badan beruniform dalam satu wadah yang menzahirkan semangat kesatuan, ketangkasan dan kepimpinan mahasiswa.

Dengan kekuatan seramai 265 anggota, program ini menghimpunkan 8 badan beruniform rasmi di Kampus Induk USM termasuk PALAPES Udara dari Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dalam satu manifestasi disiplin, kesepaduan dan jati diri mahasiswa.

Antara badan beruniform yang mengambil bahagian ialah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Laut, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Udara, Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS), Kor Siswa/Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) USM, Pasukan St. John Ambulans Malaysia (St. John) serta Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLM).

Perbarisan kali ini julung kali disertai oleh Kelanasiswa Malaysia (KSM), kursus Kokurikulum Badan Beruniform yang ditawarkan semula bagi SA 2025/2026

Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia, merangkap Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan, USM dan Komandan Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata bahawa dalam landskap pendidikan tinggi masa kini, universiti berhasrat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah menyerlah dalam aktiviti kokurikulum serta memiliki daya tahan yang tinggi berlandaskan nilai-nilai H.E.B.A.T.

“Penglibatan aktif dalam badan beruniform amat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam melahirkan generasi pelapis negara yang berilmu, berdisiplin serta berintegriti tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek, Muhammad Asyqar Widad Mohd. Azrol Nizam, dalam ucapannya menyifatkan program ini sebagai platform strategik yang menyatukan disiplin, ketangkasan dan semangat kepimpinan mahasiswa, sekali gus memperkukuh usaha USM dalam melahirkan graduan holistik yang mampu memimpin serta menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Melalui penglibatan aktif dalam program seumpama ini, para pelajar berpeluang memperkukuh kemahiran insaniah, khususnya dalam aspek komunikasi, kepimpinan, pengurusan organisasi dan kerja berpasukan,” ujarnya.

Turut hadir ialah Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Hazizan Mohd Hashim, Pengarah, Pusat Rancangan Kokurikulum USM merangkap Timbalan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan USM, pegawai-pegawai utama universiti dan tetamu jemputan kenamaan lain.

Selain pemeriksaan perbarisan badan beruniform, turut diadakan adalah pameran badan beruniform serta demonstrasi seni mempertahankan diri yang berjaya menzahirkan tahap kesiapsiagaan, disiplin dan profesionalisme anggota.