TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Kepimpinan dan Kebajikan

TNC HEPA Perkasa Aspirasi Mahasiswa, Agenda H.E.B.A.T. Ketengahkan Lima Elemen Utama

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 21 September 2026 – Peranan Universiti Sains Malaysia dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dan berdaya saing terus diperkukuh menerusi sesi khas bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya.

Wan Ahmad Jaafar berkongsi aspirasi pembangunan mahasiswa serta kepentingan memahami ekosistem sokongan yang disediakan USM, khususnya dalam aspek kebajikan, kesejahteraan, kepimpinan dan potensi diri sepanjang menjalani kehidupan di universiti.

Sesi berkenaan turut menjadi platform untuk memperkenalkan barisan kepimpinan BHEPA kepada mahasiswa baharu, di samping memberikan gambaran lebih jelas mengenai peranan setiap bahagian dan unit kecil dalam memastikan kebajikan dan pembangunan mahasiswa sentiasa diberi perhatian serta menjadi antara asas penting dalam membentuk pengalaman pengajian yang seimbang.
Pengisian kemudiannya diteruskan menerusi sesi Agenda H.E.B.A.T. yang dikendalikan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar, dengan mengetengahkan lima elemen utama MyCSD iaitu Holistic (Holistik), Entrepreneurial (Keusahawanan), Balanced (Seimbang), Articulate (Artikulasi) dan Thinking (Berfikir) sebagai komponen penting dalam pembentukan mahasiswa secara menyeluruh.

Menerusi kedua-dua sesi tersebut, mahasiswa baharu bukan sahaja memperoleh pemahaman mengenai peranan dan sokongan BHEPA, malah didedahkan kepada aspirasi pembangunan mahasiswa USM yang merangkumi kecemerlangan akademik, keseimbangan diri, kemahiran insaniah, serta bakat bagi mempersiapkan mereka menjadi graduan yang berdaya saing dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.