TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Kepimpinan

Kesejahteraan Minda, Tatatertib, Literasi Kewangan dan Kepimpinan Pembuka Tirai Minggu Orientasi Pelajar

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 21 September 2026 – Mahasiswa baharu Sidang Akademik 2026/2027 Universiti Sains Malaysia terus diperkasa menerusi pelbagai sesi yang mengetengahkan aspek kesejahteraan minda, kepimpinan mahasiswa, perundangan serta literasi kewangan sebagai persediaan menjalani kehidupan di universiti.

Menerusi sesi Kesejahteraan Minda bersama Unit Kaunseling BHEPA yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra USM, Ketua Pegawai Psikologi, Encik Ahmad Anwar Omar, berkongsi mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan minda dan psikologi mahasiswa, manakala Pegawai Psikologi, Encik Mohammad Zafran Mohd Rafa’ai, memperkenalkan sistem MyGuide@USM dan AI Chatbot sebagai kemudahan sokongan yang boleh dimanfaatkan mahasiswa untuk mendapatkan panduan serta bantuan sepanjang berada di USM.
Sementara itu, sesi bersama Majlis Perwakilan Pelajar USM memberi ruang kepada mahasiswa memahami dengan lebih jelas skop, peranan dan tanggungjawab MPP sebagai wadah perwakilan suara mahasiswa, yang diketuai oleh Yang Dipertua MPP USM, Saudara Azfar Al-Hafiz Azman.

Aspek perundangan pula diketengahkan menerusi sesi bersama Penasihat Undang-Undang USM, Dato’ Dr. Khairul Anuar Che Azmi, yang memberikan pendedahan mengenai undang-undang, peraturan dan tatakelola yang perlu difahami serta dipatuhi oleh mahasiswa sepanjang berada di USM.

Melengkapkan pengisian, sesi Literasi Kewangan bersama Bank Rakyat disampaikan oleh Ketua Unit Pembiayaan Bank Rakyat Cawangan Bayan Baru, Encik Izzat Amir.

Beliau memberi penekanan terhadap kesedaran mahasiswa mengenai ancaman penipuan atau scam serta kepentingan mengurus kewangan secara bijak, sekali gus melengkapkan mahasiswa dengan pengetahuan praktikal untuk membina kehidupan kampus yang lebih selamat, matang dan bertanggungjawab.