Skip to main content

G4

Komponen Generik MyCSD : Khidmat Masyarakat

Empowered Humanity: Perkasakan Minat STEM Dalam Kalangan Pelajar SMK Jelutong

Oleh : Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR)
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 3 Julai 2026 – Penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEM) kini bukan lagi sekadar tertumpu kepada pembelajaran teori di dalam bilik darjah, sebaliknya menjadi medium penting dalam melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif, berfikiran kritis serta berdaya saing bagi menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

Di bawah payung Train to Humanity 8.0, Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR), Universiti Sains Malaysia telah menganjurkan program EmpowerED Humanity yang dilaksanakan secara tiga fasa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelutong.

Melibatkan penyertaan seramai 70 orang pelajar Tingkatan Tiga, objektif program adalah bagi memperkukuh penguasaan STEM melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif, kreatif dan menyeronokkan.

Program ini mengaplikasikan konsep pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi aktiviti permainan cari jejak, iaitu pendekatan pembelajaran yang menggabungkan elemen penerokaan, penyelesaian masalah, komunikasi dan kerja berpasukan.

Timbalan Pengarah Program yang mewakili Pengarah Program, Nurul Izzati Zamri berkata, objektif utama program ini adalah untuk memperkukuh penguasaan STEM dalam kalangan pelajar sambil membentuk keyakinan diri, meningkatkan motivasi serta memupuk kemahiran insaniah yang mampu menjadi asas kepada kecemerlangan akademik dan pembangunan diri mereka pada masa hadapan.

"Melalui aktiviti cari jejak yang disediakan, kami berharap para pelajar bukan sahaja dapat memahami konsep STEM dengan lebih mendalam, malah mampu membina semangat kerjasama, mengasah pemikiran kreatif dan kritis serta meningkatkan motivasi untuk mencapai potensi terbaik dalam akademik dan kehidupan," ujarnya.

Sepanjang program berlangsung, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi menyertai cabaran di setiap stesen aktiviti manakala mahasiswa USM yang bertindak sebagai fasilitator membimbing peserta, berkongsi ilmu serta menyemai nilai kepimpinan, kerjasama dan kesukarelawanan, sekali gus mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan berimpak.

Penganjuran program  turut menyokong aspirasi (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dengan menyediakan pengalaman pembelajaran yang inklusif, berkualiti dan berimpak kepada pelajar sekolah, sekali gus diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki daya tahan, semangat kepimpinan serta kemahiran yang diperlukan untuk memacu pembangunan negara pada masa hadapan.