![]()
MPDR USM PERKASA PENGUASAAN BAHASA INGGERIS DALAM KALANGAN MURID SRINPEK MELALUI PROGRAM EPIC
USM PULAU PINANG, 9 Mei 2026 – Penguasaan bahasa kini bukan lagi sekadar teori di dalam bilik darjah, sebaliknya berfungsi sebagai jambatan komunikasi yang membina keyakinan diri serta mematangkan pemikiran di peringkat institusi pendidikan.
Menyedari hakikat itu, Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR), Universiti Sains Malaysia melalui Exco Akademik dan Pembangunan Bakat telah menganjurkan program English: Play, Interact, Connect (EPIC), sebuah program berimpak dengan kerjasama Sekolah Rendah Islam Nurul Hidayah Penghulu Elang Kulim (SRINPEK), Kedah.
Berlangsung di Dewan Al-Falah pada 4 Mei 2026 baru-baru ini, program ini telah dirasmikan oleh Guru Besar SRINPEK, Ustaz Muhamad Asri Abdul Rahman.
Ketua Projek, Mohammad Danish Fitri Mohamad Nasrul berkata, fokus utama EPIC adalah untuk memecahkan benteng rasa malu dalam kalangan murid melalui pendekatan yang santai dan menyeronokkan.
“Saya berharap program ini dapat membantu murid-murid menjadi lebih yakin untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dan berani mencuba perkara baharu. Melalui interaksi aktif, kita mahu mereka menikmati proses pembelajaran ini sebagai satu pengalaman yang positif,” ujar beliau semasa menyampaikan ucaptama.
Seramai 50 orang murid Tahap 2 terlibat dalam aktiviti intensif yang dibimbing oleh 15 orang fasilitator dalam kalangan mahasiswa USM. Antara pengisian utama program termasuklah modul pembelajaran di lima stesen berbeza yang menekankan aspek pengayaan kosa kata serta kemahiran komunikasi dua hala.
Inisiatif ini merupakan sokongan padu terhadap Highly Immersive Programme (HIP) di bawah dasar MBMMBI yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mewujudkan ekosistem penggunaan bahasa Inggeris yang menyeluruh di institusi pendidikan.
Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen berterusan USM dalam menyokong agenda kelestarian global, khususnya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4) : Pendidikan Berkualiti. Selain itu, ia merupakan manifestasi nyata teras ketiga 'Students for Society' (S4S) yang menekankan aspek motivasi dan pemindahan ilmu daripada mahasiswa kepada komuniti setempat.
Melalui penganjuran EPIC, budaya pembelajaran bahasa yang interaktif diharapkan dapat terus bercambah, sekali gus melahirkan generasi muda yang kompeten dan berdaya saing di persada antarabangsa.
Teks: Danish Fitri Mohamad Nasrul
Pengarah Projek ENGLISH: PLAY, INTERACT, CONNECT (EPIC)
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA