EDUCATION FOR ALL: SUKASS USM DORONG KARAKTER HOLISTIK PELATIH STB TELUK AIR TAWAR
USM PULAU PINANG, 22 April 2026 – Berteraskan slogan “No One Left Behind”, Sekretariat Sukarelawan Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam menyantuni komuniti apabila berjaya melaksanakan sebuah program berfokuskan pendidikan dan pembangunan karakter insaniah, khusus untuk pelatih pemulihan di bawah umur 18 tahun di Sekolah Tunas Bakti Teluk Air Tawar.
Program ini menggabungkan tenaga dan semangat kesukarelawanan seramai 34 orang mahasiswa/i USM sebagai fasilitator bersama 52 orang pelatih STBTAT. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memberi dorongan dan bimbingan, malah menjadi platform penting dalam memperkasa potensi diri pelatih agar mereka lebih yakin, berdaya tahan serta tidak terpinggir daripada arus pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Sepanjang program berlangsung, para pelatih dibawa menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang dirangka secara holistik bagi merangsang pemikiran, membina keyakinan diri dan memupuk semangat kerjasama. Aktiviti seperti senamrobik, latihan dalam kumpulan serta kembara eksplorasi berasaskan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Sejarah dan Matematik telah memberi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Tambahan pula, aktiviti kreatif seperti Dapur Kuali dan Pulau Impian berjaya mencungkil bakat, kreativiti serta mengasah kemahiran kepimpinan dalam kalangan peserta.
“Program ini sangat bermakna kepada saya kerana banyak perkara baharu yang saya pelajari sepanjang aktiviti dijalankan. Ia membuatkan saya lebih yakin dengan diri sendiri dan memberi semangat untuk berubah menjadi lebih baik. Saya juga rasa lebih dihargai dan tidak lagi rasa tersisih seperti sebelum ini.” ujarnya.
Dengan semangat Students for Society (S4S) dalam kalangan mahasiswa serta menyokong aspirasi USM dalam melahirkan graduan holistik dan seimbang, mahasiswa USM terus memperkukuh sifat empati dan kepimpinan di samping menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti yang inklusif dan saksama untuk semua lapisan masyarakat.
Teks/foto: Sekretariat Sukarelawan USM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA