![]()
SOKONG AGENDA KELESTARIAN, MPP PUSAT PENGAJIAN SAINS KOMPUTER USM BANGUNKAN PLATFORM ‘WHERE’S MY WATER'
USM, PULAU PINANG, 22 April 2026 – Memahami kepentingan air sebagai keperluan asas, sebuah inovasi digital hasil kreativiti pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) kini diperkenalkan bagi memudahkan warga kampus mengakses sumber air tapis dengan lebih efisien.
Platform yang dinamakan ‘Where’s My Water’ itu merupakan hasil cetusan idea yang dibangunkan oleh Muhammad Aqif Wafiy Mohd Farid, pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Sains Komputer yang juga merupakan ahli Majlis Perwakilan Pelajar di pusat pengajian yang sama. Beliau dibantu oleh Muhammad Danish Aiman, pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Sains Komputer.
Majlis perasmian dan sesi taklimat penggunaan aplikasi tersebut disempurnakan oleh Prof. Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA.
“Saya berharap agar laman sesawang ‘Where’s My Water’ ini dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medium untuk menggalakkan budaya hidup sihat, sekali gus menjadi contoh keberkesanan penggunaan platform digital dalam kalangan warga USM,” ujar beliau.
Inisiatif ini bukan sekadar memudahkan pencarian lokasi air minuman bersih, malah menyokong penuh agenda kelestarian universiti dengan menggalakkan pelajar membawa botol minuman sendiri (reusable bottles) bagi mengurangkan penggunaan plastik pakai buang.
Menurut Muhammad Aqif, sistem ini direka dengan mengutamakan kemudahan pengguna (user-friendly).
Pengguna aplikasi hanya perlu mengimbas kod QR yang akan diedarkan di semua platform media digital kampus, paparan pengesanan lokasi terkini pengguna akan muncul beserta lokasi berdekatan punca air tapis bersih boleh didapati.
Aplikasi tersebut turut dibekalkan Ruang Maklum Balas cadangan bagi memastikan kualiti perkhidmatan dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.
Pengarah Projek, Saudari Alisha Sofia Muhd Hafeez, menyatakan bahawa projek ini mendapat sokongan penuh daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai salah satu inisiatif kebajikan terbaik untuk diketengahkan pada sidang akademik ini.
Penambahbaik seperti lokasi foodbank juga boleh dimasukkan dan akan ditambahbaik dari masa ke semasa.
Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA